Sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik akan dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia RMKe-12 (2021-2025) bagi meningkatkan peluang kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40) memiliki rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia selaras dengan Dasar Perumahan Negara dalam memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu milik demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Menurutnya, kerajaan telah membina 282,000 unit rumah mampu milik setakat tempoh lima tahun dalam RMKe-11.
“Di samping itu, kemudahan pembiayaan termasuk dana untuk rumah mampu milik, Skim Perumahan Belia dan Rent To Own (RTO) akan ditambah baik bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terbeban dengan bayaran ansuran.
“Bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM2.25 bilion dalam tempoh RMKe-12.
“Peruntukan ini adalah untuk membina dan membaik pulih sebanyak 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah, melibatkan 75,000 unit rumah di kawasan luar bandar, dan hampir 10,500 unit rumah di kawasan bandar,” katanya dalam pembentangan di Dewan Rakyat hari ini.