Roboh Kampung Mutiara : Pemuda Amanah puji sikap DAP,Umno dan polis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah Pulau Pinang berterima kasih kepada Ketua Polis Pulau Pinang  dan memuji langkah bijak membabitkan dua pemimpin politik negeri dari DAP dan Umno yang menjadi orang tengah membela penduduk kampung perlu dilihat sebagai kelangsungan politik bijak tanpa sentimen perkauman dan provokasi keterlaluan.

Ketua Pemudanya, Dzul Fahmi Abu Bakar berkata,  keperihatin dan peduli  terhadap masalah rakyat di Kampung Mutiara di atas jaminan untuk menangguhkan selama satu bulan tindakan perobohan membabitkan 64 buah rumah di kawasan itu hari ini,  akan dapat memberikan harapan kepada penduduk terbabit.

“Tempoh satu bulan diberikan itu diharap bakal memberi satu sinar harapan kepada penduduk terbabit.

“Pihak tuan tanah juga sepatutnya mengambil peluang ini membuka rundingan untuk menyelesaikan masalah yang tergantung sejak sekian lama.

“Pemuda Amanah Pulau Pinang sememangnya telah lama bersama MP Bukit Bendera dan ADUN Tanjung Bungah bekerja dalam isu ini sejak notis pengusiran yang pertama dikeluarkan oleh tuan tanah dengan membantu kerja bancian penduduk terkini di Kampung Mutiara.

“Justeru kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan suasana harmoni dan menang-menang di antara tuan tanah dan penduduk,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah Dzul Fahmi berkata, walaupun tuan tanah mempunyai hak ke atas tanah tersebut, perlu dilihat dari segi kemanusiaan dan keadilan terhadap penduduk Kampung Mutiara yang rata-ratanya golongan berpendapatan rendah.

“Keperihatinan dan kebertanggungjawaban pihak tuan tanah sentiasa menjadi doa kami semua agar dipermudahkan segala urusan,” ujarnya.

Sebagai rekod penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi yang berhimpun hari ini bagi mempertahankan rumah mereka daripada dirobohkan, setelah Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, mendapatkan  perintah mahkamah bagi penanggihan pengusiran itu selepas mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah atas faktor keselamatan.

Penduduk kampung itu mula berkumpul sejak awal pagi selepas tersebarnya desas-desus pemilik tanah berkenaan akan bertindak merobohkan kira-kira 64 buah rumah serta menghalau penghuninya pagi ini.

Antara yang dilihat hadir memberi sokongan kepada penduduk itu ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Adun, Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Shah Hussain dan Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.

Ini merupakan percubaan kali kedua pemilik tanah Peter Loke untuk mengusir penduduk kampung itu selepas usaha pada pertengahan Oktober lalu gagal berikutan penduduk bangkit mempertahankan kampung mereka.

Konflik di kampung itu bermula selepas keputusan mahkamah berpihak kepada Loke yang membeli tanah itu pada 2007.

Berikutan itu, satu writ pemilikan dikeluarkan bagi mengosongkan rumah di kampung tersebut, namun penduduk enggan berpindah kerana mendakwa tidak

mendapat pembelaan sewajarnya sedangkan sudah mendiami perkampungan itu sejak 1950-an lagi.

TAGS