Malaysia Dateline

Roboh kuil Hindu satu tindakan angkuh dan tak sensitif, kata Patriot

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji mengecam tindakan kerajaan Negeri Kedah yang secara angkuh dan tidak bijak merobohkan sebuah kuil Hindu di Alor Setar.

Menurutnya, tindakan berisiko seperti itu oleh pihak berkuasa tempatan sama sekali tidak sensitif terhadap perasaan mereka yang mempunyai hubungan dengan kuil-kuil berkenaan.

“Ada kalanya bangunan dan struktur lama mesti diruntuhkan untuk memberi jalan bagi rancangan pembangunan baru.

“Tetapi apabila ia melibatkan isu-isu sensitif seperti kuil, kebijaksanaan dan persefahaman mesti menjadi faktor panduan untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, yang dikatakan berusia lebih 50 tahun.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tempat ibadat mesti dibina dengan mendapatkan kebenaran daripada kerajaan tempatan terlebih dahulu.

Katanya juga, perobohan kuil Hindu atas tanah yang digazetkan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah adalah berlandaskan undang-undang dan bukannya isu perkauman, agama atau diskriminasi.

Sanusi turut menganggap ada pihak berkepentingan cuba mengapi-apikan isu berkenaa

Sementara itu Mohamed Arshad menegaskan, pihak berkuasa tempatan seharusnya memberi masa yang cukup untuk semua pihak mengambil keputusan yang dipersetujui bersama untuk mencari tapak kuil alternatif.

Malah katanya, memelihara kuil yang berusia berabad lamanya bukanlah satu masalah, bahkan ia boleh menjadi lokasi bersejarah sekaligus sebagai tempat tarikan pelancong.