Malaysia Dateline

Roboh rumah haram di Paya Jaras: Elak projek tebatan banjir terus tertangguh

Khairuddin Othman

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras menjelaskan perobohan 82 struktur kediaman haram di atas tanah rizab di pinggir Sungai Kedondong demi menjayakan projek rancangan tebatan banjir yang tertangguh sejak kira-kira empat tahun lalu.

Menurut Mohd Khairuddin Othman, masalah banjir terpaksa terus diharungi penduduk Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu akibat kelewatan projek yang dirancang sejak 2008 itu.

“Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong ini membabitkan kos RM5.93 juta. Ia bermula pada 2 Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada 31 Mei 2017.

“Bagaimanapun, sehingga kini ia diberi dua kali lanjutan masa (EOT) iaitu dari 1 Julai 2017 hingga 25 Julai 2018 dan EOT kedua bermula 26 Julai 2018 hingga 18 September lalu,” dipetik dari SelangorKini.

Exco Kerajaan Negeri itu memberitahu lanjutan tersebut disebabkan keengganan penduduk yang mendiami struktur kediaman secara haram terbabit untuk berpindah.

Untuk rekod, Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong membabitkan komponen utama sepanjang 1.15 kilometer bernilai RM5.93 juta dimulakan dan dijadualkan siap pada 31 Mei 2017.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, kelewatan projek tebatan banjir itu dimuatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 dan dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember tahun lalu.

“Tindakan meroboh ini adalah mematuhi semua prosedur dan undang-undang ditetapkan,” katanya lagi dengan menambah Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif dengan menawarkan Rumah Selangorku kepada penduduk terbabit.

Sementara itu, Ketua AMANAH Subang, Mariam Abdul Rashid berkata, sebahagian besar penduduk terbabit merupakan warga Indonesia.

Menurutnya, notis pindah sudah dikeluarkan sejak Disember 2015 manakala notis perobohan dilanjutkan kepada 16 September.

“Kerajaan melalui bancian petugas termasuk anggota PDRM telah membuka ruang sekiranya penduduk perlukan penempatan sementara dan ada masalah jika rumah dirobohkan.

“Namun, mereka kata tiada masalah atau tiada apa-apa respon dari mereka,” tambahnya lagi.

Mariam Abdul Rashid