Roboh rumah: Menteri Besar Selangor gagal beri maklum balas

Roboh rumah: Menteri Besar Selangor gagal beri maklum balas

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal memberi maklum balas berhubung desakannya sebelum ini supaya campur tangan dalam isu perobohan kediaman di Subang hari ini.

“Tiada kenyataan (dari Azmin setakat hari ini),” tegas Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan kepada pemberita yang berada di lokasi mempertahankan rumah bekas pegawai Masjid Subang daripada diroboh tanpa penempatan semula.

Walau bagaimanapun, Sivarajan dan lapan lagi ahli PSM ditahan kerana menghalang operasi perobohan di Lot 1210 Mukim Sungai Buloh yang dikatakan milik Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) itu.

Mereka terbabit adalah Ketua Pemuda PSM, Khalid Mohd Ismath; ahli Pemuda Sharan Raj dan Paranjothi KS Joma; ahli PSM Subang, T Mohan serta tiga aktivis yang dikenali sebagai Ahmad Ridzuan, Ahmad Fauzi, Hafizudin dan Mohamad Anaqy.

Kesemuanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Antara ahli PSM yang ditahan dan dibawa ke IPD Petaling Jaya hari ini.

Awal tahun ini, Sivarajan mendesak kerajaan negeri Selangor mengarahkan Pentadbir Tanah Petaling supaya tidak melakukan kerja perobohan ke atas kediaman dihuni dua keluarga terbabit.

Menurutnya, tindakan itu perlu memandangkan penggunaan tanah di lot tersebut adalah atas kepentingan MAHB.

“Tujuan penggunaan tanah atas kepentingan swasta tetapi mereka gunakan jentera kerajaan termasuk Kanun Tanah Negara. Sekarang ini, tanah tersebut telah dipajak puluhan tahun kepada MAHB.

“Pihak yang mengusir di sini adalah MAHB bukan pihak kerajaan. Jadi, kenapa MAHB pula boleh guna pejabat tanah Petaling di bawah kerajaan negeri Selangor?” soalnya di lobi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam pada 7 Mac lalu.

Menurutnya, arahan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor kepada pejabat tanah Petaling itu penting supaya MAHB mengetengahkan tuntutan mereka melalui mahkamah mengikut prosedur sewajarnya termasuk memberi peluang kepada pihak terjejas untuk dibicarakan.

“Minta Datuk Azmin menghalang atau mengeluarkan arahan kepada pejabat tanah Petaling supaya tidak terlibat dalam isu ini kerana kerajaan tidak berkaitan dengan projek yang mahu dilaksanakan.

“Biar pihak swasta bawa tuntutan mereka kepada mahkamah. Sekurang-kurangnya kerajaan negeri Selangor prihatin,” tegasnya dalam sidang media yang turut dihadiri aktivis dan pimpinan Pakatan Harapan.

Jalan pintas

Mengulas lanjut, Sivarajan berkata, rundingan dengan syarikat terbabit sebelum ini pula tidak berhasil sebaliknya pihak MAHB tetap mahu merobohkan dua unit rumah, kedai dan rumah tetamu. .

“Mereka (MAHB) ikut jalan pintas. MAHB sebagai entiti swasta salah guna jentera kerajaan. Kita cuba adakan rundingan tetapi gagal tetapi mereka keluarkan notis kedua mengatakan operasi merobohkan akan dibuat jika tidak kosongkan dalam tempoh 30 hari,” jelasnya lagi.

Rumah keluarga bekas siak masjid LTSAAS, Abdul Razak Said dan jirannya, Yaakob yang telah dirobohkan hari ini kerana didapati menduduki lokasi dalam kawasan masjid itu tanpa kebenaran dakwa MAHB.

MAHB menuduh keluarga bekas siak masjid LTSAAS, Abdul Razak Said dan jirannya, Yaakob Abdul yang juga bekas AJK masjid itu menduduki lokasi dalam kawasan masjid itu tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, Razak dan Yaakob diberi kebenaran bertulis daripada bekas setiausaha masjid, Zakaria Md Noh untuk mendiami lokasi tersebut sekitar tahun 1990-an.

Dalam hal berkaitan, Pentadbir Tanah Petaling pada 9 November 2016 mengeluarkan Notis Kesalahan Pendudukan Secara Tidak Sah di atas Tanah Kerajaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

Ditandatangani Penolong Pegawai Daerah Penguatkuasa, Mohd Farid Shaharir, turut disertakan butiran Seksyen 425 berkaitan pendudukan secara tidak sah tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

Menurut peruntukan itu, tindakan tanpa kebenaran yang sah menduduki atau membina bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau perlombongan adalah satu kesalahandan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 7.0
CATEGORIES
TAGS