Roboh rumah Orang Asal tindakan luar perikemanusiaan

Roboh rumah Orang Asal tindakan luar perikemanusiaan

Pemuda Amanah Sabah kesal dengan tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Sabah merobohkan rumah kediaman masyarakat Orang Asal Dusun Kiulu di Kampung Bobotong, Tongod, Jumaat lalu yang mengakibatkan mereka kehilangan tempat tinggal dan sumber pencarian hidup.

Ketuanya, Mohd Khairuddin Daud menyifatkan tindakan drastik itu sebagai tidak berperikemanusiaan apatah lagi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) telah pun memberi surat kepada Jabatan Perhutanan bagi menunda proses pengosongan hutan dan pemindahan komuniti sehingga 31 Mac 2017.

Antara rumah penduduk Kampung Bobotong Tongod yang dirobohkan penguatkuasa Jabatan Hutan Sabah.“Sebelum berlakunya insiden di Tongod ini, negara kita sudah pun digemparkan dengan insiden penindasan Orang Asal di negeri Kelantan. Tetapi kali ini di Sabah.

“Saya dan seluruh badan Amanah Sabah tidak mahu sekadar berdiam, menunggu dan melihat sahaja apa yang berlaku ke atas komuniti tertindas ini.

“Mereka bukan sekadar berdepan dengan sikap biadab daripada syarikat-syarikat pembalak, malah berhadapan dengan sikap tidak peduli daripada pihak kerajaan negeri sendiri,” tegas Khairuddin.
Beliau turut mengecam sikap berdiam diri kerajaan negeri yang dipercayai bekerjasama mengaut keuntungan melalui syarikat-syarikat pembalakan.

Justeru, Khairuddin menggesa kerajaan negeri Sabah supaya menghentikan penindasan terhadap Orang Asal sama ada secara fizikal mahu pun menyukarkan mereka mendaftar sebagai warga negara.

Menurut beliau, sudah menjadi kebiasaan kepada kerajaan negeri mewartakan hutan sebagai hutan simpan rizab tanpa mengambil kira aspek penempatan dan sumber pendapatan hidup Orang Asal yang menduduki hutan tersebut.

“Lebih teruk lagi, walaupun setelah status hutan digazet sebagai hutan simpan rizab, aktiviti pembalakan pula dijalankan secara berleluasa.

“Bukan kerajaan tidak sedar akan hal ini, malah membenarkan ianya berterusan tanpa kawalan yang sepatutnya,” ujarnya.

Kecuaian ini, tambah beliau mengakibatkan pelbagai kejadian bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir lumpur yang besar.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri membantu Orang Asal menjaga hak mereka dan memberi bantuan sewajarnya terutama dalam aspek sara diri.

“Ini bagi memastikan survival mereka sentiasa terjamin, lebih-lebih lagi dalam mendepani arus kemodenan hari ini,” ujar beliau.

Penduduk Kampung Bobotong, Tongod rata-ratanya berbangsa Dusun dari Kiulu, Kota Belud dan Tuaran.

Mereka telah tinggal di kampung itu sejak 1979 dan menduduki tanah yang diusahakan sebelum ditubuhnya FMU (Forest Management Unit).

TAGS