Malaysia Dateline

Roboh rumah penduduk: Adun Paya Jaras diminta lebih prihatin

Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman supaya lebih prihatin terhadap mangsa perobohan rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras, Sungai Buloh, semalam.

Zaharudin mendakwa, Mohd Khairuddin tidak prihatin dengan pasca perobohan rumah-rumah berkenaan dan Adun Paya Jaras itu sendiri menyokong keputusan untuk merobohkan penempatan tersebut.

“Kami bukan mempertahankan penduduk untuk terus menduduki tanah rizab, tetapi kami bersama dengan penduduk meminta pihak kerajaan menangguhkan perobohan sehingga paling awal bulan November ini, iaitu selepas semua peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PT3 dan seumpamanya berakhir supaya tidak mengganggu masa depan mereka.

“Kami juga tidak pernah sesekali menghalang kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pelebaran Sungai Kedondong sebagaimana yang dicadangkan sebelum ini.

“Cuma ini juga melibatkan isu kemanusiaan kerana rumah-rumah tersebut dirobohkan dalam keadaan cuaca berjerebu, sekolah ditutup dan sebahagian agensi turut tutup atas faktor kesihatan. Mereka (mangsa) tak tahu nak pergi ke mana.

“Yang saya pertikaikan adalah dari segi kemanusiaan, itu lebih utama sebab sama ada mempunyai geran atau tidak, mangsa-mangsa tersebut adalah manusia.

“Mereka bukan itik, kalau itik sekali pun tuan dia nak halau atau pun nak pindahkan itik, dia kena siapkan reban baru. Lepas siap reban baru, baru roboh reban lama. Itu itik, ini manusia,” katanya pada sidang media di penempatan sementara, di Paya Jaras Hilir, hari ini.

Turut hadir, Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Nuridah Salleh, dan Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Sungai Buloh, Siti Rohaya Ahad.

Zaharuddin berkata, perobohan rumah penduduk itu dilakukan tanpa ada perancangan susulan seperti penyediaan rumah persinggahan sementara, sehingga menyebabkan penduduk terutama kanak-kanak terpaksa merempat dalam khemah terbuka serta terdedah kepada jerebu, hujan dan sebagainya.

“Mereka (penduduk) adalah warganegara Malaysia pemegang kad pengenalan biru, bukan pendatang asing yang menceroboh tanah kerajaan sebagaimana dakwaan setengah pihak.

“Terdapat juga penduduk yang mempunyai geran sementara pajakan 99 tahun, namun apabila ditanya kepada pegawai terlibat mengatakan bahawa rumah mereka di luar daripada geran yang diberikan.

“Jadi, Pas Sungai Buloh menggesa pihak berkenaan supaya menunjukkan bukti yang menyatakan rumah penduduk di situ di luar daripada geran,” katanya lagi.

Justeru itu, Pas Sungai Buloh turut mendesak tuntutan kemanusiaan terhadap mereka yang terlibat, sekurang-kurangnya menyediakan tempat tinggal untuk berteduh.

“Jadi saya tengok janji mereka untuk dapatkan rumah Selangorku dan seumpamanya menjadi satu benda yang nampak tidak relevan sebab rumah Selangorku saya dimaklumkan akan siap pada 2021,” ujarnya lagi.

Setakat ini, kerajaan negeri telah meroboh sebanyak 67 buah rumah dan kerja perobohan telah bermula sejak semalam.

Memetik laporan media tempatan semalam, operasi perobohan rumah yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor itu, dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.

Khairuddin berkata, pelaksanaan perobohan itu sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2008 lagi dan penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak tahun 2015.

Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya pada waktu itu membantah perobohan berkenaan memandangkan penduduk terlibat tidak mendapat tawaran Rumah Selangorku sebagai pampasan kepada perobohan terbabit.

“Dan pada 2 Ogos lepas kita serahkan surat tawaran (Rumah Selangorku) berkenaan dan memberi notis untuk perobohan berkenaan beberapa hari kemudian dengan menetapkan tempoh selama 30 hari buat penduduk mencari rumah sewa lain,” katanya.