Malaysia Dateline

Rogol kanak-kanak berusia 4 tahun: Taska dalam proses ditutup

 

Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan, taska di Batu Gajah, Perak yang menjadi tempat kanak-kanak empat tahun dipercayai dirogol budak lelaki berusia 12 tahun, kini dalam proses ditutup.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata, taska berkenaan sebenarnya tidak didaftarkan dan pengasuhnya didapati menjaga lapan kanak-kanak di dalam taska itu.

“Sekarang ini pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang melihat bagaimana cara terbaik untuk menjaga kanak-kanak berkenaan.

“Kita juga nak semua taska didaftarkan, tetapi mereka di Putrajaya itu pun, tidak ramai yang mendaftarkan taska.

“Hanya 26 taska berdaftar di Putrajaya dan pemantauan yang lebih ketat juga perlu dilakukan ke atas taska-taska yang ada.

“Sekiranya penjaga mengasuh empat orang ke bawah, ianya tak perlu didaftarkan, tetapi lebih daripada itu kena daftar,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai langkah-langkah penguatkuasaan di peringkat kementeriannya bagi mengelakkan perkara seperti itu berulang.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai menjadi mangsa rogol anak lelaki pengasuhnya dalam kejadian di Taman Sri Wangsa, Batu Gajah, Perak.

Kejadian tersebut terbongkar Khamis lalu, apabila kanak-kanak terbabit mengadu sakit pada bahagian kemaluan yang didakwa dilakukan suspek berusia 12 tahun itu kepada ibunya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ibu mangsa kemudiannya membawa kanak-kanak itu ke klinik untuk pemeriksaan sebelum diminta oleh doktor agar membuat laporan polis.

Katanya, ibu mangsa juga telah berjumpa dengan pengasuh dan suspek untuk bertanyakan hal berkenaan sebelum murid darjah enam itu mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu kerana terangsang selepas menonton video di telefon bimbitnya.