Malaysia Dateline

Rogol kanak-kanak dalam lokap: Audit segera CCTV balai polis

Lim Lip Eng

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (gambar) menggesa kerajaan agar melakukan siasatan dan audit menyeluruh berhubung jumlah kamera litar tertutup (CCTV) di dalam pusat tahanan yang dipasang hanya untuk memantau dan bukannya merakam.

Ia selepas pengakuan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail bahawa tiada rakaman untuk menyiasat dakwaan seorang gadis berusia 16 tahun yang telah dirogol oleh tahanan lain ketika berada di dalam pusat tahanan.

Beliau berkata, ini adalah penting untuk mengelakkan lebih banyak kes rogol dan kematian misteri dalam tahanan seperti kes Teoh Beng Hock pada 2009 yang dilaporkan mati ketika berada di dalam tahanan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Penjelasan terperinci perlu diumumkan mengenai mengapa CCTV tidak dapat membuat rakaman. Ini untuk meyakinkan masyarakat bahawa tidak ada yang disembunyikan.

“Kerajaan juga perlu mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk membekal CCTV.

“Tetapi persoalan terpenting adalah apa gunanya CCTV jika anda tidak dapat membuat rakaman? Apa gunanya membawa senapang jika tiada peluru? Tidak ada sebab mengapa CCTV dipasang namun tidak dapat merakam kejadian itu,” katanya lagi.

Terdahulu, Polis Sarawak percaya kejadian rogol membabitkan tahanan remaja di lokap Balai Polis Pusat Miri sememangnya berlaku, berdasarkan percakapan saksi.

Aidi Ismail bagaimanapun berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut memandangkan kamera litar tertutup di lokap berkenaan hanya berfungsi untuk pemantauan, bukan untuk merakam.

Beliau juga telah mengarahkan pasukan penyiasat untuk mencari tahu mengapa perkara sedemikian boleh berlaku.

Sementara itu Lim mempersoalkan sejauh mana keselamatan bukti jenayah yang disimpan di balai-balai polis sekiranya kamera CCTV pun tidak dapat berfungsi seperti yang sepatutnya.

“Adakah ada individu yang cuba menyembunyikan atau menghapusman bukti? Adakah terdapat sebarang bentuk rasuah?,” soalnya.