Rogol pembantu rumah:Exco Perak mengaku tidak bersalah

Rogol pembantu rumah:Exco Perak mengaku tidak bersalah

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Choo Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan ke atasnya dibaca di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Choo Kiong didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, pada 7 Julai, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman manakala Choo Kiong diwakili peguam Farhan Sapian; ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh serta Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Terdahulu, Choo Kiong yang berkemeja putih serta sut berwarna kelabu tiba di mahkamah pada jam 8.57 pagi dengan menaiki kenderaan jenis BMW.

Polis memperketatkan kawalan di sekitar mahkamah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sekumpulan penyokong Choo Kiong turut dilihat berkumpul di hadapan pintu masuk mahkamah sejak 8.30 pagi selain kira-kira 20 pengamal media yang menanti kehadirannya. – Bernama