Malaysia Dateline

Rohingya: Istiqamah yang dituntut

Sengaja saya lambat menulis tentang isu ini kerana ingin mendengar hujah dan ulasan pelbagai pihak terlebih dahulu. Saya kurang berminat membawakan fakta dan angka tentang Rohingya kerana rata-rata orang kita sudahpun tahu. Saya akan lebih menumpukan aspek persaudaraan Islam dan budi bahasa Melayu itu sendiri.

Mereka Tidak Meminta Jadi Begini

Orang Rohingya bukan saja-saja mahu datang ke negara kita. Jika diberi pilihan, tentulah mereka mahu menetap dan bekerja di kampung halaman mereka di Arakan, Myanmar. Tetapi mereka dihalau keluar dari kampung halaman dengan muncung senjata. Rumah dan kedai dibakar hangus. Kemudian terpaksa berasak-asak seramai puluhan ribu dalam kem yang sempit dan kotor di Bangladesh.

Hidup perlu diteruskan, keluarga perlu disara. Mana mungkin terus tinggal di khemah pelarian bertahun-tahun tanpa kerja dan harta? Maka yang sihat akan mencuba nasib dengan mengharung lautan, mencari sinar kehidupan di mana-mana belahan bumi Tuhan. Lebih baik mencuba dari berserah kepada derita. Dan antara daratan yang terhampir ialah Malaysia. Dihuni pula oleh majoriti saudara seIslam yang terkenal baik budinya.

Dari jauh bermalam datang,
Tetak sangkar pancung kemudi,
Dari jauh kamilah datang,
Mendengar tuan baik budi.

Keberkatan Bagi Bangsa Yang Berbudi

Sejak dahulu, Malaysia memang terkenal sebagai sebuah negara yang prihatin dan bertimbang rasa terhadap mangsa kezaliman dari luar negara. Kita pernah menempatkan ribuan pelarian Vietnam dan Kemboja di Pulau Bidong, Terengganu pada dekad 70an dan 80an. Mereka melarikan diri daripada rejim komunis di Vietnam dan kekejaman Khmer Rouge di Kemboja. Sehingga kem itu ditutup pada 1991,jumlah pelarian yang pernah diterima ialah 250 ribu orang.

Itu pelarian dari negara bukan Islam. Apatah lagi terhadap saudara seIslam dari Bosnia, Palestin dan Syria, kita sentiasa terdepan dalam menghulurkan bantuan. Nama Malaysia harum di persada dunia islam.

Sifat baik budi rakyat Malaysia ini bertepatan dengan ajaran Islam itu sendiri:

“Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat Mustaim, Abu Dawud dan Tirmidzi).

Mukmin yang beriman dengan hadis ini akan sentiasa mencari peluang berbuat jasa kepada golongan yang dalam kesusahan, baik mereka Islam atau bukan.

Presiden Erdogan menerima 3.5 juta pelarian Syria di tanah Turki. Bahkan mereka dianggap sebagai tetamu. Walaupun negara mengalami kerugian ikut penilaian mata kasar, di sebaliknya ada keberkatan dari Tuhan. Rakyat Turki tetap memilih Erdogan sebagai pemimpin. Beliau juga terselamat daripada kudeta tentera. Barangkali titipan doa dari 3.5 juta pelarian Syria ini adalah salah satu senjata ampuh yang dimiliki Erdogan.

Hidup Ini Umpama Roda

Sebenarnya, bangsa yang miskin dan hina hari ini boleh jadi akan bangkit dan berkuasa pada masa depan. Begitu juga sebaliknya. Orang Yahudi pernah ditindas di Eropah pada zaman pertengahan, sekarang menjadi pelobi-pelobi paling berpengaruh di White House. Bangsa Mongol pernah menjarah daratan Eurasia dan membunuh 50 juta manusia, tetapi sekarang mereka sudah lenyap daripada percaturan kuasa dunia.

Oleh itu jangan angkuh dengan kuasa yang sementara. Jangan bakhil dengan harta yang diberi pinjam.

Kita juga tidak hidup seorang diri di dunia ini. Ada masanya kita perlukan bantuan daripada orang lain. Ketika saya menuntut di luar negara, kami pelajar Malaysia sering singgah ke masjid kelolaan komuniti Pakistan/Bangla untuk tumpang solat dan berteduh. Selalu kami dilayan dengan ramah dan kadangkala dijamu makan. Kami dialu-alukan sebagai saudara seIslam. Alangkah indahnya persaudaraan Islam yang melangkaui sempadan geografi. Masa itu terfikir, bagaimana agaknya kalau rakyat Malaysia memberi layanan buruk kepada buruh asing Bangla di negara kita? Nasib baik tak singgah masjid Rohingya (kalaulah ada).

Berbudi Tak Bertebing?

Betul, buat baik harus berpada-pada. Tetapi membenci juga jangan keterlaluan. Sehingga semua orang Rohingya dianggap kotor dan biadap. Ada pula yang sampai diminta untuk mengucap syahadah.. Astaga, apa sudah jadi? Sebuah bangsa yang asalnya ramah dan berbudi, tiba-tiba bertukar wajah. Entah apa yang merasukimu..

Kalau pergi ke Padang Kota,
Belikan abang berangan sepokok,
Kalau benci jangan merata,
Kalau sayang jangan bertompok

Memanglah bagi kaum pelarian yang miskin dan kurang pendidikan akan berperangai kasar dan sering menimbulkan masalah sosial. Masalah yang sama di khemah pelarian Palestin dan Syria. Tidak perlu pergi jauh, kita tinjau sahaja kawasan perumahan flat kos rendah di Lembah Klang. Mengapa banyak masalah sosial di situ? Ya, kerana mereka miskin, rumah sempit, ibu bapa sibuk bekerja, anak-anak terbiar. Kita yang serba cukup ini diberi dua pilihan – sama ada menghukum atau mendidik mereka.

Istiqamah Yang Dituntut

Pelik juga ada parti politik dan NGO yang dahulu bukan main menjuarai isu Rohingya, sehingga menghantar kapal flotilla bantuan ke Myanmar, konon atas semangat “solidariti ummah”, sekarang dah buat u-turn. Adakah isu Rohingya hanya alat untuk memuluskan “muafakat/solidariti ummah” semata-mata? Selepas “muafakat” terjalin, isu Rohingya pun dibuang ke Laut Andaman.

Semoga rakyat Malaysia yang hidup hatinya tidak akan melupakan Rohingya. Jangan sampai orang Melayu dikenang dalam lipatan sejarah sebagai bangsa yang pernah menghalau saudara seIslam yang tertindas.

* Muhammad Fauzi Hasim adalah Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda AMANAH Nasional