Rohingya jadi korban di ambang hari raya korban

Rohingya jadi korban di ambang hari raya korban

Malaysia mesti bersegera bertindak tegas menyelamatkan kaum Rohingya Myanmar yang sedang dibunuh beramai-ramai. Setelah melihat sikap Kerajaan Myanmar yang angkuh dan kejam tidak mendengar bantahan suara negara-negara antarabangsa, sudah sampai masanya Kerajaan Malaysia memanggil Sidang Khas Parlimen membahas isu pembunuhan kaum Rohingya.

Apabila kami yang bersama NGO tempatan yang di ketuai oleh MAPIM hadir di Kedutaan Myanmar Kuala Lumpur pada 30 Ogos untuk menyampaikan memorandum tentang Rohingya, sikap tidak menghormati rombongan kami dengan menghantar kakitangan bawahan menerima memo tersebut amat mendukacitakan.

Sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, saya telah membawa satu usul khas di Parlimen tahun lepas untuk membahas pembunuhan dan kekejaman ke atas kaum Rohingya di Myanmar. Malangnya usul tersebut telah ditolak oleh Kerajaan dengan hanya ahli Parlimen Pakatan Harapan menyokong usul tersebut.

Kerajaan Malaysia mesti merasa  bertanggungjawab atas apa yang berlaku hari ini kerana Malaysia telah menyokong kuat kemasukan Myanmar ke dalam ASEAN. Malaysia juga berusaha keras untuk pembebasan Aung San Suu Kyi dari penahanan pihak tentera Myanmar sehingga beliau menjadi Perdana Menteri Myanmar hari ini.

Kegagalan Kerajaan membahas dan membuat pendirian rasmi yang tegas di Parlimen tahun lepas telah melihat pembunuhan yang lebih ganas dan meluas oleh pihak tentera Myanmar hari ini.

Menjelang Hari Raya Korban, begitu ramai umat Islam Rohingya yang kecil, tua dan wanita di korbankan oleh Junta tentera Myanmar secara terancang. Apakah kita negara majoriti rakyat Islam masih berdiam diri sementara Pope Francis dari Vactican telah mengumumkan beliau akan ke Myanmar dalam waktu terdekat kerana krisis kemanusiaan yang makin meruncing?

Tidak malukah kerajaan kita yang masih berpeluk tubuh tidak bersedia pun untuk membahas isu ini di Parlimen? Di manakah keperhatinan kita sebagai seorang Islam melihat saudara seagama kita dikorbankan dengan begitu kejam?

Semasa Pope Francis dari Vactican merancang untuk ke Myanmar kerana isu umat Islam Rohingya, Datuk Seri Najib Razak sibuk dengan persiapan hendak ke Amerika Syarikat berjumpa dengan Presiden Trump seorang yang terkenal dengan sikap perkauman dan anti-Islamnya. Di manakah Datuk Najib meletak prioriti kemanusiaan Islamnya berbanding dengan politiknya?

Polisi kononnya tidak campur tangan ehwal negara ASEAN tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada Malaysia apabila beribu umat Islam tidak berdosa dibunuh begitu kejam di negara jiran.

Isu penglibatan Malaysia bersama tentera sekutu Saudi iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Perancis menyerang negara miskin Yaman dirakamkan dalam laporan  Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Januari 2017. Soalan saya di Parlimen pada tahun lepas tidak dijawab dengan penuh tentang dakwaan PBB yang Malaysia terlibat dalam jenayah perang bersama Amerika Syarikat membunuh ribuan rakyat Islam Yaman. Kenapa campur tangan di negara yang jauh tetapi tidak bersungguh menyelamatkan nyawa umat Islam di negara jiran?

Sekali lagi saya menuntut sidang Khas Parlimen untuk membahas usul isu pembunuhan Rohingya yang telah ditolak kerajaan tahun lepas. Berapa ramai lagi rakyat Rohingya mesti menjadi korban kekejaman junta Myanmar sebelum kerajaan mahu mengambil sikap serius isu ini.

Semasa kita membahagi-bahagikan daging korban pada Hari Raya Aidiladha Jumaat ini, ingatlah sedikit berapa ramai rakyat Islam Rohingya kelaparan menjadi pelarian dan terus menjadi korban pembunuhan kejam junta tentera Myanmar.
________________
Datuk Raja Bahrin Shah ialah Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH.