Malaysia Dateline

Nasib pelarian Rohingya kini mendapat perhatian dunia.

Rohingya: Persaudaraan sesama Islam semakin pudar, hampa di bawah PN

Walaupun menjadi kerajaan melalui pintu belakang, Pas didakwa telah menggadaikan prinsip perjuangan pembelaan umat Islam yang teraniaya.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, hari ini mempunyai tanda tanya adakah itu punca Pas hanya berdiam diri apabila MCA menempelak konsep Kerajaan Islam-Melayu oleh Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, bukan hanya isu Rohingya yang Pas membisu dan kelu apabila berkuasa, tetapi isu hubungan Israel, kerajaan Umno dahulu yang telah mula membenarkan pegawai Israel memasuki negara, turut diabaikan.

“Isu penderitaan rakyat Yaman yang diserang Arab Saudi bersama sekutu Amerika, Britain dan Perancis serta disokong kerajaan Umno- BN juga Pas membisu.

“Kalau Raja Kerajaan Habsyah yang berlainan agama dan bangsa boleh menyelamatkan umat Islam Nabi Muhammad SAW daripada ancaman penduduk Mekah, mengapa kerajaan Islam-Melayu oleh Pas, Umno mengabaikan tanggungjawab menyelamatkan kaum Rohingya yang juga sesama Islam?

“Jangan kerajaan Melayu-Islam hanya kekal pada nama untuk mengelirukan pengikut politik. Sesungguhnya nama Islam itu terlalu suci untuk disalah guna,” bidasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Malangya selepas hampir dua bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, Raja Kamarul menyifatkan makna sebenar ungkapan persaudaraan sesama Islam semakin pudar dan menghampakan.

Beliau berkata, kerajaan PN-Muafakat Nasional berhujah penuh dalih daripada laungan asal pembelaan umat Islam Rohingya seperti yang telah dizahirkan di himpunan besar di Stadium Titiwangsa dan pelancaran kapal bantuan Rohingya di Pelabuhan Klang untuk Rohingya.

“Pada mereka hanya Umno dan Pas sahajalah yang layak membela Islam Rohingya, dan jemaah Islam lain tidak layak dijemput dan disisih daripada acara tersebut.

“UMNO menyatakan tiada keperluan membela kaum Rohingya termiskin sementara seperti biasa, Pas membisu seribu bahasa apabila tiada kepentingan politik.

“Nampaknya politik kini mendahului roh perjuangan Islam walaupun di bulan Ramadhan. Apabila berkuasa seolah-olah kuasa adalah segala-galanya dan bukannya amanah yang diberi oleh Allah,” katanya lagi.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu menambah, jika bimbang pembawakkan wabak Covid-19 oleh kaum Rohingya, langkah pengasingan (kuarantin) boleh dilakukan.

“Seperti warga Vietnam dahulu yang ditahan di Pulau Bidong dan Pusat Sungai Besi boleh diusahakan. Banyak pulau di Pantai Barat dan pusat sementara boleh digunakan bagi tujuan ini,” ujarnya.