Rohingya: PBB sudah bersuara, mana suara OIC, Asean dan NAM?

Dr Raja Iskandar Raja Yaacob

Di saat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengakui wujud kempen ‘pembersihan etnik’ Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar, sikap membisu Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) dan Pertubuhan Negara Berkecuali (NAM) terhadap konflik yang berlaku di Myanmar amat mendukacitakan.

Sehubungan itu Pertubuhan kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berharap dunia antarabangsa tidak lagi bermain sandiwara dalam menangani isu kekejaman dan kezaliman kerajaaan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya.

“Adakah mata kuasa besar dunia hanya akan celik apabila bumi Rakhine menjadi padang jarak padang terkukur dan hanya akan mampu mengira kubur-kubur umat minoriti Rohingya?” soal Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

Menurut beliau, PBB telah mengeluarkan kenyataannya di Geneva bahawa serangan ganas terhadap penduduk Rohingya di utara Rakhine adalah perancangan teratur, selaras dan sistematik oleh kerajaan Myanmar dengan niat mengusir penduduk itu keluar dari Myanmar dan menghalang mereka kembali ke rumah masing-masing.

“Bagi kami, PBB adalah sebuah badan dunia yang bersifat kolektif dan berkecuali dalam apa jua tindakan telah menjalankan siasatan secara terus sama ada di Myanmar mahupun di kem-kem pelarian di Cox Bazar di sempadan Bangladesh-Myanmar,” kata Raja Iskandar.

Kenyataan PBB ini, tambah beliau disokong oleh Suruhanjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR) yang membantu menguruskan pelarian Rohingya di kem pelarian Cox Bazar, Bangladesh.

Petugas UNHCR, katanya mengakui trauma dan kesan sampingan pelarian setelah dibayangi pembunuhan, rogol, seksaan dan pengusiran sistematik kerajaan Myanmar.

“Hasil siasatan PBB juga dilihat selari dengan perolehan UNHCR hasil temu bual dengan penduduk yang melarikan diri ke Bangladesh sejak serangan kumpulan pejuang Islam terhadap pasukan keselamatan Myanmar di Rakhine pada 25 Ogos lalu mencetuskan serangan balas tentera,” katanya.

Oleh itu, Serantau Muslim menggesa negara-negara Islam agar berhenti dari bersifat dayus dalam menangani isu penghapusan etnik Rohingya ini.

Menurut Raja Iskandar, jika negara-negara Arab boleh membelanjakan jutaan ringgit untuk membina stadium sukan, menyumbang bilion dinar untuk pemuliharaan haiwan di zoo, membina hotel mewah di seluruh dunia; mengapa pemimpin-pemimpin negara Islam tidak cakna dengan nasib yang menimpa umat Islam Rohingya.

Apa yang lebih dikesali, tambah beliau masih ada negara Islam menyediakan karpet merah buat pemimpin Myanmar yang mengizinkan kempen pembunuhan itu.

Kenyataan rasmi PBB di Geneva kelmarin bahawa wujud gelombang terbaharu ‘operasi penghapusan’ yang dilakukan pihak tentera Myanmar di Rakhine sejak awal Ogos lalu membuktikan ia bukanlah tindak balas terhadap serangan kumpulan pejuang bersenjata seperti didakwa Rangoon.

 

0.0
OVERALL SCORE
: 0.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS