Malaysia Dateline

Rohingya: Setuju diselamatkan tetapi bukan bekerja di Felda, kata Pemuda AMANAH

Walaupun AMANAH bersetuju membenarkan warga Rohingya diselamatkan tetapi untuk membenarkan mereka bekerja di Felda tidak dipersetujui oleh Pemuda AMANAH di Johor.

Sehubungan itu, cadangan dari Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara untuk membenarkan warga Rohingya berkerja di sektor perladangan perlu ditolak oleh Felda.

RIDHUAN ESA

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Tenggara, Ridhuan Esa berkata kenyataan Timbalan Menteri itu yang dibuat semalam (29 April 2020) dilihat tidak sesuai dilaksanakan ketika rakyat menghadapi cabaran ekonomi akibat Covid-19 dan risiko kehilangan perkerjaan yang tinggi terutama di Felda.

Katanya Felda merupakan salah satu agensi kerajaan melibatkan industri perladangan yang luas mencecah 490 ribu hektar termasuk ladang peneroka dan pastinya cadangan tersebut akan membabitkan agensi berkenaan.

“Masalah tenaga buruh seperti rekod pada tahun 2018 yang mencecah 11000 pekerja adalah antara masalah utama Felda dalam mencapai produktiviti pengeluaran hasil ladang. Setakat ini lebih kurang 10 peratus warga tempatan dan 90 peratus warga Indonesi, Bangladesh, Nepal dan India.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini telah memberi kesan kepada generasi Felda yang berkerjadan berniaga.

“Ramai generasi yang hilang sumber pendapatan kerana PKP dan mula sedar sektor perladangan adalah perkerjaan yang lebih tinggi nilai survival ketika bencana walaupun terdapat kawalan pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau yang merupakan generasi peneroka berkata kesedaran tersebut boleh menjadi faktor untuk generasi Felda berkerja di ladang ibu bapa mereka sendiri berbanding bergantung kepada warga asing yang memerlukan kos tempat tinggal dan lain-lain.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah menjalankan program pembangunan generasi Felda dengan membangunkan perumahan dan memberikan tapak lot rumah kepada mereka.

“Oleh yang demikian, faktor ekonomi setempat adalah berkerja bersama Felda atau Felda Technoplant Sdn Bhd (FTPSB) sebagai sumber pendapatan generasi yang tinggal di rancangan Felda.

“Belanjawan 2020 telah mengumumkan insentif RM 250 hingga RM 500 kepada pekerja tempatan yang menggantikan perkerja asing dan majikan menerima RM 250 atas tujuan yang sama.

“Justeru itu, cadangan timbalan menteri tersebut dilihat tidak relevan dan tidak boleh diterima khususnya bagi Felda. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu lebih peka masalah rakyat sebelum mencadangkan sesuatu yang tidak masuk akan dan membelakangkan kepentingan rakyat,” katanya.

Tambahnya dasar yang mengutamakan pekerja tempatan perlu disambut baik untuk menarik minat mereka berkerja di sektor perladangan berbanding memberi peluang kepada warga asing.