Malaysia Dateline

Rokok konvensional: Sejarah, belum diharamkan dan halatuju

Menjelang keputusan semakan kehakiman bagi peraturan larangan merokok pada 29 Oktober ini, mari kita mengimbau kembali sejarah rokok konvensional. Ia adalah satu cerita lama yang patut diambil pengajaran daripadanya. Kisah bermula dengan orang menghisap rokok pada kira-kira 5000 sebelum masihi di utara
dan selatan Amerika. Ketibaan orang Eropah pada kurun ke-16 ke benua Amerika mengakibatkan penggunaan, penanaman dan perdagangan tembakau tersebar dengan lebih luas.

Modenisasi kemudiannya meningkatkan lagi penyebaran rokok konvensional sehingga kontroversi pada tahun 1960an dan seterusnya kecaman dunia kepada amalan merokok pada 1980an. Pada zaman 1990an, epidemik merokok adalah satu masalah kesihatan awam yang begitu epik. Ia menjadi penyebab utama kematian pramatang dan sekurang-kurangnya 3.5 juta kematian telah disebabkan oleh amalan merokok pada 1998.

Tambahan pula, kebanyakan kematian-kematian itu berlaku di negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Pada ketika itu, di Malaysia sendiri, ada pihak yang menyeru kerajaan Malaysia untuk mengharamkan terus rokok. Walaubagaimanapun, disebabkan sifat ketagihan rokok yang kuat dan ramai pun rakyat Malaysia sudahpun ketagih rokok, mengharamkan terus rokok pada dilihat sukar untuk dibuat dan akan menimbulkan kemarahan bagi mereka yang sudah ketagih rokok.

Ia juga merupakan suatu bentuk industri yang sah. Pada masa yang sama, segala strategi kawalan tembakau ketika itu tidak dapat menandingi kekuatan industri rokok yang begitu kaya dan berpengaruh. Kawalan penggunaan rokok pada ketika itu dilihat sebagai sesuatu yang mustahil untuk dibuat. Oleh itu, telah tiba masanya untuk menukar corak dan aturan permainan. Pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) kemudiannya telah memberi mandat kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk memberi nasihat kepada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) tentang bagaimana untuk menangani masalah ini.

Dari sini instrumen antarabangsa bagi kawalan tembakau telah ditubuhkan pada Mei 1995 di Persidangan Kesihatan Sedunia (World Health Assembly) ke-48. Pada tahun berikutnya, WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) telah dibangunkan bagi menurunkan amalan merokok secara berkala sehingga ia terlalu kecil dan akhirnya hilang.

Malaysia telah menganggotai perjanjian WHO FCTC bersama negara-negara lain semenjak tahun 2005. WHO FCTC manggariskan 38 artikel bagi membantu negara menjalankan aktiviti kawalan tembakau dengan lebih sistematik dan efektif. Salah satu artikel tersebut adalah Artikel 8, yang memperuntukan semua negara ahli untuk menjadikan tempat-tempat awam termasuk semua tempat makan sebagai tempat larangan merokok. Sehubungan dengan itu, pewartaan
tempat makan sebagai tempat larangan merokok telah bermula pada tahun 2004 di Malaysia dan dilakukan secara berfasa sehingga keseluruhan tempat makan dijadikan kawasan larangan merokok.

Pewartaan berfasa bermula dengan peraturan larangan merokok di tempat makan berhawa dingin. Peraturan ini telah membenarkan kawasan merokok seluas 1/3 daripada tempat makan berhawa dingin. Ia dipanggil Peraturan 21. Perlaksanaan Artikel 8 WHO FCTC diteruskan dengan perbincangan pewartaan tempat
makan terbuka selain tempat makan berhawa dingin pada tahun 2009.

Tiga persatuan pengusaha utama yang tidak bersetuju agar tempat makan terbuka dijadikan sebagai tempat dilarang merokok telah dipanggil. Tiga persatuan tersebut adalah Malaysia Singapore Coffee Shop Association, Persatuan Restoran India Malaysia atau PRIMAS dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia atau PRESMA. Pada tahun 2015 tiga persatuan ini telah dipanggil, sekali lagi bagi membincangkan implementasi larangan merokok di kedai
makan terbuka.

Semasa perbincangan tersebut ketiga-tiga wakil persatuan memohon sekali lagi agar perlaksanaan ini ditangguhkan dan meminta kerajaan melaksanakan kawalan tembakau yang lain terlebih dahulu. Pihak wakil persatuan juga memohon agar larangan merokok di tempat makan terbuka diberikan kelonggaran 40% dijadikan tempat merokok dan kedai-kedai kecil yang kurang daripada 10 meja dikecualikan.

Namun begitu, satu tinjauan atas talian yang dijalankan pada tahun 2015 menunjukkan masyarakat menginginkan pihak kerajaan mewartakan larangan merokok di tempat makan tanpa menunggu maklumbalas kerana menyedari bahaya asap rokok kepada orang yang berada di sekeliling. Maklumblas awam telah dibuat melalui atas talian di mana majoriti meminta agar pihak kerajaan tidak lagi menangguhkan pewartaan larangan merokok di
tempat makan terbuka.

Pihak kerjaaan telah mengambil keputusan untuk meminda Peraturan 21 pada tahun 2017 lalu menjadikan 100% kedai makan berhawa dingin sebagai tempat dilarang merokok. Perbincangan masih diteruskan bagi mewartakan semua tempat makan terbuka sebagai tempat dilarang merokok. Sepanjang tahun 2016 hingga 2017, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima banyak aduan dan desakan masyarakat agar tempat makan terbuka dijadikan tempat larangan merokok.

Pihak Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri telah juga menerima aduan berkaitan keluhan masyarakat berkaitan aktiviti merokok di tempat makan terbuka. Menurut Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri, aduan kacau ganggu merokok di kedai makan adalah yang tertinggi berbanding aduan-aduan lain.

Justeru itu, satu kajian dengan kerjasama Biro Pengaduan Awam dan pihak Bahagian Kawalan Penyakit, KKM telah dijalankan untuk mengetahui pandangan masyarakat termasuk golongan perokok akan perancangan untuk mewartakan tempat makan sebagai tempat dilarang merokok. Kajian menunjukkan bahawa majoriti orang awam termasuk perokok dan pengusaha kedai makan bersetuju agar larangan merokok dilaksanakan di tempat makan terbuka. Oleh yang demikian satu keputusan dasar telah dibuat bagi mewartakan larangan ini pada September 2018 dan sesi taklimat serta pemakluman telah dibuat kepada semua
pengusaha kedai makan dan pihak berkuasa tempatan.

Seterusnya proses pindaan Peraturan telah dijalankan dan pewartaan telah dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2019. Bagi memastikan semua masyarakat diberi peluang untuk mematuhi larangan ini, pihak KKM telah bersetuju untuk menjalankan penguatkuasaan pendidikan iaitu dengan memberikan amaran bertulis sehingga 30 Jun 2019 sebelum dilanjutkan sehingga 31 Disember 2019. Diharap tiada lagi penangguhan perlaksanaan sepenuhnya larangan merokok di tempat makan selepas 1 Januari 2020.

Pada ketika ini pervalens merokok dalam kalangan dewasa di Malaysia adalah di sekitar 22% dan tidak banyak berubah sepanjang 30 tahun ini. Pelbagai usaha telah dijalankan di Malaysia untuk menangani wabak merokok sebelum ini tetapi tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan. Lebih mengerunkan lagi apabila hampir separuh (50%) daripada lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok.

Sejarah rokok konvensional adalah satu kisah yang penuh pancaroba dan melibatkan kehilangan banyak nyawa. Hikayat ini belum berakhir. Peraturan-peraturan kawalan tembakau perlu diperketat agar penggunaan rokok konvensional akan turun bagi mencapai sasaran WHO FCTC. Komuniti sejagat berharap cerita ini mendapat pengakhiran yang disasarkan.

Oleh itu, besar harapan agar semua pihak bergerak kearah end game rokok konvensional. Semoga keputusan semakan kehakiman 29 Oktober ini selari dengan harapan dunia sejagat agar rokok konvensional lupus dari muka bumi ini dan berhenti daripada melakukan kerosakannya.

Sekarang negara kita bukan sahaja bergelut dengan masalah akibat rokok konvensional. Kemelut vape pula menambahkan beban negara apabila ramai bukan perokok dan kanakkanak yang menggunakannya. Seharusnya kita semua belajar dari tragedi lampau. Jangan benarkan apa-apa ketagihan baru bertapak dan berakar sehingga ianya sukar dibendung.

Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia menyarankan pengharaman menyeluruh vape di Malaysia. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali.

*Penulis adalah Ahli Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia