Malaysia Dateline

Rombak SPRM yang terpalit isu integriti bukan takutkan rakyat

Pejuanita Muda menegaskan kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dirombak susulan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Ketua Penerangannya, Syafariza Jamal berkata, intimidasi terhadap anak muda yang menyertai himpunan aman #TangkapAzamBaki di ibu negara, 22 Januari lalu sepatutnya dihentikan.

“Pejuanita Muda ingin menegaskan agar pihak kerajaan menghentikan intimidasi terhadap anak muda yang mahu negara ini bebas daripada rasuah.

“SPRM sepatutnya dirombak apabila kepimpinan dan pegawai SPRM sendiri terpalit dengan isu integriti, bukannya dengan menakutkan rakyat yang jelas menjalankan hak mereka di bawah sistem demokrasi,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan tiga ahli Pejuanita Muda akan diambil keterangan di IPD Brickfields jam 3 petang esok.

Mereka ialah Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr Nurul Ashikin; Ketua Pejuanita Muda Negeri Sembilan, Siti Fairuz Mohd Fadzil dan Naib Ketua Pejuanita Muda Negeri Sembilan, Nurhasanah Dayana Mohd Jimy.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak polis bagi membantu siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” tambah Syafariza lagi.