Malaysia Dateline

Rombak struktur PdPR: AMANAH cadang 3 subjek diajar sehari

Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)merombak gaya dan struktur pelaksanaan PdPR menjelang pembukaan sekolah separuh kedua penggal kedua ini.

Pengerusinya Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, semua sekolah pelbagai peringkat diwajibkan melaksanakan jadual dalam bentuk anjal, di mana dalam sehari hanya tiga mata pelajaran sahaja akan diajar.

Dalam pada itu, katanya guru serta murid diberikan kebebasan untuk mengadakan sesi tunjuk ajar dan perbincangan mengikut kesesuaian guru dan murid.

Beliau juga mencadangkan pelaporan mengajar guru-guru dikurangkan kepada satu sahaja dan lebih mesra PdPR.

“Mempelbagaikan bentuk latihan dan penilaian buat murid-murid sekolah dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pembelajaran dalam talian semata-mata yang memerlukan data yang banyak.

“Cadangan ini merupakan asas awal bagi memastikan murid dan guru tidak terbeban untuk melaksanakan PdPR,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Katanya, PdPR di Malaysia haruslah berlandaskan konteks semasa, di mana ramai murid daripada golongan sederhana yang pastinya kurang peruntukan kewangan untuk menyertai PdPR.

Di mana katanya, PdPR itu mestilah bersifat menarik minat murid, bukan memaksa yang asasnya ada pendidikan yang berjalan antara guru dan murid walaupun minima.

Minggu ini merupakan minggu terakhir sesi persekolahan bagi separuh pertama penggal kedua 2021.

Menurut Dr Hasan, sepanjang pembelajaran PdPR sesi yang lepas, telah menyaksikan kelemahan dari pelbagai aspek yang menggambarkan PdPR gaya Malaysia punya kekurangan dan ketempangan yang sangat ketara.

Selain daripada perkara yang berkaitan dengan kaedah dan alat pembelajaran, katanya kerajaan PN gagal untuk menunaikan janji secara tuntas bagi memberikan peranti (komputer) kepada murid yang amat memerlukan dan mereka tidak mampu memilikinya sehinggalah kepada memberi tekanan mental dan spiritual yang dihadapi oleh guru-guru ketika berhadapan dengan situasi PdPR.

“KPM dibawah pimpinan YB Menteri Kanan Pendidikan terus berdiam diri dari menjawab persoalan asas permasalahan ini dan lebih gemar mengulas isu yang berkaitan dengan perkara yang akan dilaksanakan pada masa hadapan berbanding keadaan semasa.

“YB Menteri Kanan Pendidikan lebih gemar mengulas isu vaksinasi kepada calon peperiksaan awam berbanding mencakna di mana ramai dalam kalangan murid yang tidak boleh menyertai PdPR akibat kurang kelengkapan dan ketidakupayaan ibubapa menangani pendidikan PdPR,” ujarnya.

Beliau tidak menafikan peri pentingnya vaksinasi kepada calon peperiksaan awam, namun apa yang sewajarnya menjadi fokus menteri adalah ketidakupayaan murid dan ibubapa berdepan dengan PdPR.

“Kerana itu sepanjang tempoh PdPR 3.0 begitu banyak masalah yang berbangkit, tidak dapat diselesaikan oleh pihak KPM.

“Kita menjangkakan menjelang pembukaan sekolah separuh kedua penggal kedua ini, lebih ramai murid yang tidak akan dapat menyertai PdPR.

“Lebih merisaukan kita, akan berlaku kadar keciciran dikalangan murid sekolah,” tambah beliau.