Rombakan  dalam  aktiviti teras menjurus ke arah pemansuhan Mara, dakwa Zahid

Rombakan dalam aktiviti teras menjurus ke arah pemansuhan Mara, dakwa Zahid

Majlis Tertinggi Umno menentang keras sebarang usaha Kerajaan Pakatan Harapan untuk merombak ‘core-business’  (aktiviti teras) Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui konsep “pengasingan dan penyerapan” ke bawah beberapa kementerian.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan hari ini, berkata, dengan pengasingan itu membabitkan Kementerian Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pelajaran ia akan menjurus kepada penutupan dan pemansuhan Mara dan menjejaskan pembanguan Melayu dan Bumiputera di seluruh negara.

“Kerajaan Pakatan harus sedar bahawa Mara ditubuhkan mengikut Akta Parlimen pada tahun 1966.

“Ia telah dibahas dan diluluskan di Dewan Rakyat. Umno amat dukacita jika sebarang rombakan ini dilaksanakan tanpa merujuk dan dibawa semula ke Parlimen,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, Mara tidak wajar menjadi mangsa kekejaman politik atau politik balas dendam. di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

“Mara terbentuk dari resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada 1965 yang mahukan agenda perjuangan Bumiputera diperjuangkan.

“Bermula dari Rida, kemudian lahirnya Mara dan sehingga detik ini genaplah 52 tahun agensi ini menabur bakti terhadap masyarakat Bumiputera.

“Umno percaya usaha memecah-kecilkan Mara dan diletakkan dalam pelbagai kementerian akan menyukarkan Mara mencapai matlamatnya membantu Melayu dan Bumiputera.

“Umno mahu kerajaan mengekalkan Mara sebagai satu agensi amanah Bumiputera yang dapat meneruskan perjuangan seperti yang dihasratkan oleh Kongres Bumiputera menerusi seliaan satu kementerian,” terangnya.

Justeru katanya, Umno berharap kerajaan harus bertindak rasional menjaga kepentingan awam dengan mengekalkan agensi yang selama ini menjadi nadi kepada ekosistem masyarakat akar umbi.

“Umno tetap akan mempertahankan MARA demi rakyat,” tegasnya.

COMMENTS

Wordpress (0)