Rombakan JPM tepati janji kerajaan PH reformasi institusi

 

Sany Hamzan

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, rombakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dilaksanakan seiring dengan janji kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, agensi yang diletakkan di bawah Parlimen lebih bertanggungjawab pada rakyat selain dapat membendung gejala rasuah.

Jelasnya, keputusan meletakkan sembilan agensi termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen menepati tawaran PH dalam usaha mereformasi institusi.

“Langkah menggabungkan lima jabatan manakala 40 agensi lagi dipindah fungsi bertujuan untuk menghapuskan pemusatan kuasa kepada Perdana Menteri.

“Tindakan kerajaan PH membubarkan 10 agensi lagi antaranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Majlis Profesor Negara (MPN) juga dapat mengelak pembaziran dana kerajaan,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Sany berkata, pembubaran agensi yang tidak perlu juga dapat menyelamatkan kewangan negara daripada tiris kepada tujuan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Sebanyak 19 pejabat kecil di bawah Pejabat Perdana Menteri seperti Pejabat Duta Khas Perdana Menteri ke Republik China dan Pasukan Komunikasi Negara telah dibubarkan.

“Bayangkan kalau langkah pembubaran agensi atau jabatan terbabit tidak dilakukan. Pastinya banyak pembaziran akan berlaku ketika negara masih berdepan masalah hutang yang tinggi,” tambah Sany lagi.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya bertemakan ‘Membina Negara Memenuhi Harapan’ pada PRU-14 antara lain menjanjikan reformasi institusi pentadbiran dan politik.

Rombakan JPM yang dimaklumkan menerusi surat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa kepada JPM pada 26 Jun lalu bagaimanapun memberitahu 26 jabatan lagi kekal di bawah JPM.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS