Malaysia Dateline

Rombakan kabinet: Apa yang penting teruskan khidmat, kata Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu biarpun kerajaan memutuskan untuk menimbang desakan melakukan rombakan kabinet, apa yang paling penting adalah meneruskan khidmat untuk rakyat.

Katanya, sama ada rombakan tersebut wajar atau tidak, ia merupakan prerogratif atau hak Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri untuk melaksanakannya.

“(sama ada wajar lakukan rombakan atau tidak), itu merupakan prerogratif YB Perdana Menteri.

“Yang paling penting sekali adalah kita terus berkhidmat (untuk rakyat) sebaik mungkin, itu adalah yang paling utama,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Sukan Sea 2019 di Hotel Tenera, Bangi, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir akan mempertimbangkan desakan untuk merombak kabinet susulan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu itu menegaskan bahawa kajian terhadap prestasi setiap menteri akan di adakan oleh kerana ia bukan tindakan yang mudah dan perlu pemerhatian yang teliti.

“Saya sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab lah berkenaan dengan rombakan kabinet dan saya terima pandangan mereka. Saya akan beri perkembangan terhadap desakan supaya kita adakan rombakan tersebut.

“Tetapi bukanlah hari ini atau esok. Ianya setelah kita mengkaji dan meneliti pencapaian dan kebolehan menteri-menteri yang ada sekarang ini dan selepas dari itu barulah kita akan bincang tentang kemungkinan kita adakan rombakan kabinet,” katanya semalam.