Malaysia Dateline

Rombongan demi rombongan datang minta saya buat sesuatu, kata Mahathir

Selepas seminggu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003, ada pihak mendesak agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ada yang mendakwa Perdana Menteri menggantikan tempatnya gagal menjalankan tugas.

Walhal, bekas Perdana Menteri dua kali itu berkata, keputusannya pada 2003 tersebut untuk berehat daripada politik.

“Apabila saya letak jawatan pada tahun 2003, saya pun berharap akan dapat berehat, mungkin enjoy life sikit pi jalan sana-sini tetapi selepas seminggu saya letak jawatan (ada) orang datang minta (tolong).

“Tun tolonglah buat sesuatu kerana mereka berpendapat bahawa yang menjadi Perdana Menteri ketika itu tidak menjalankan tugas dengan baik. Satu minggu sahaja sudah nampak berlainan keadaan (nya).

“Jadi mereka datang dan (seterusnya) rombongan demi rombongan datang minta saya buat sesuatu. Bagi saya, saya cuba nasihat (pemimpin terbabit) tapi nasihat tidak berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Wawancara Khas Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran Sinar Harian yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar selaku moderator di Studio F Kompleks Karangkraf hari ini.

Untuk rekod, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri kelima pada 2003 hingga 2009. Abdullah atau mesra dipanggil Pak Lah ketika itu dibantu oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga berkata, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk keluar dari Umno bagi memudahkannya membuat teguran.

“Akhirnya saya terpaksa keluar daripada parti (Umno) dan menentang kerajaan (Umno ketika itu),” tambahnya lagi.