Malaysia Dateline

‘Rombongan’ menteri, ahli politik keluar dari kediaman PM tengah malam tadi

Lebih 20 kenderaan dipercayai membawa orang kenamaan (VIP) dan ahli politik dilihat keluar dari kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin di Bukit Damansara, tengah malam tadi.

Turut kelihatan melepasi pondok pengawal rumah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ialah kenderaan yang membawa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Abang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan berkenaan sebelum itu dilapor pertama tiba di rumah Mahiaddin sejak jam 8.20 malam.

Pertemuan tergempar susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik balik sokongan daripada PN dan Perdana Menteri itu juga menyaksikan kehadiran Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Antara yang dilihat menemui Mahiaddin ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man merangkap Menteri Alam Sekitar dan Air dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Negara.

Turut dilihat, kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin merangkap Setiausaha Agung Bersatu dan PN juga dilihat keluar dari kediaman Mahiaddin.

Selain itu, tiga menteri iaitu Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga keluar dari kediaman Mahiaddin.