Malaysia Dateline

Rombongan PM enggan kuarantin 10 hari punca menteri kesihatan keluar perintah?

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bertanyakan sama ada benar wujud kekecohan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sejurus ketibaan rombongan Perdana Menteri dari Jakarta, 5 Februari lalu.

Beliau menegaskan rakyat perlukan penjelasan daripada kerajaan apabila dikhabarkan rombongan lawatan rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kurang 24 jam ke Indonesia itu menolak untuk perintah kuarantin 10 hari.

“Benarkah berlaku kekecohan di Airport Subang. Pegawai KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sudah menunggu untuk urusan kuarantin apabila rombongan PM sampai dari Jakarta.

“Katanya mereka tidak mahu kuarantin 10 hari? Rakyat perlu penjelasan.

“Itu sebab Menteri keluar surat arahan baru melalui Warta Persekutuan. Kuarantin cuma tiga hari. Arahan KP (Ketua Pengarah) Kesihatan di bawah Akta 342 kena “over rule”?” soalnya lagi sebentar tadi.

Semalam, gempar apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) tempoh kuarantin 10 hari seperti ditetapkan sejak 14 Disember 2020 kepada tiga hari.

Berkuatkuasa hari ini, jemaah menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara hanya perlu menjalani “pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.”

Menerusi Warta Persekutuan yang ditandatangani Adham itu, kira-kira 70 orang menteri dan timbalan menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) bakal menikmati ‘kemudahan’ itu walaupun negara sedang berdepan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang ganas.

Perintah Menteri Kesihatan yang dinamakan “Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021” itu muncul selepas Muhyiddin pulang ke Malaysia pada 5 Februari susulan lawatan ke Indonesia.

Sebelum ini, sekurang-kurangnya 30 ahli politik termasuk menteri dijangkiti Covid-19 sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020.

Dua darjat

Mengulas lanjut, Mohd Puad yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu mempersoal tindakan menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang enggan menjalani kuarantin 10 hari.

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Johor tersebut berpendapat pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk perintah kuarantin mandatori 10 hari seperti terkecuali kepada menteri.

Walhal, beliau menyifatkan perbincangan melibatkan negara luar lebih sesuai dilakukan secara atas talian ketika kes penularan pandemik masih melonjak.

“Tiba tiba sahaja Menteri Kesihatan keluar surat. Semua Menteri balik bertugas dari luar negara tidak perlu kuarantin 10 hari. Mereka terkecuali dari Seksyen 15 Akta 342.

“Kalau tidak mahu dikuarantin, apa perlunya keluar negara. Kalau setakat mahu bincang laluan hijau, elok guna sidang maya sahaja.

“PKP sudah jadi antara dua darjat?” bidas Mohd Puad lagi.

Perdana Menteri dan isteri Puan Seri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang tiba pukul 4 petang, 4 Februari berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, Jakarta pada pukul 4.10 petang (waktu Indonesia barat), 5 Februari lalu.