Rombongan polis ‘ziarah’ rumah Najib

Rombongan polis ‘ziarah’ rumah Najib

Malam 1 Ramadan menyaksikan lebih 15 kenderaan dan sebuah trak polis berada di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di ibu negara.

Enam buah kenderaan utiliti sukan (SUV) manakala selebihnya kenderaan Proton Preve milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) diiringi dua kereta peronda dan dua motosikal polis, masuk ke perkarangan rumah Najib, kira-kira pukul 10.15 malam.

Peguam Najib, Datuk Hasnal Rezua Merican pula dilihat memasuki rumah bekas Pengerusi BN berkenaan bersama seorang wanita pada pukul 11.05 malam.

Walau bagaimanapun, media tidak dibenarkan menghampiri kawasan rumah bekas pemimpin yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

Sehingga tengah malam tadi, Bukit Aman belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung operasi di kediaman Najib itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib sempat menunaikan solat tarawih lapan rakaat di Masjid Kampung Baru.

Beliau yang berbaju Melayu berwarna merah tua dan mengenakan songkok hitam berada di saf pertama.

Terdapat tiga foto dimuat naik di Facebook Najib Razak termasuk aksinya yang sedang bersimpuh sambil mengangkat tangan mengaminkan bacaan doa.

“Alhamdulillah malam ini dapat solat sunat terawih di Masjid Kg Baru. Semoga kita semua sentiasa diberkati Allah SWT,” kata Najib.

Turut disertakan Hadis Riwayat Bukhari, “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Najib dilapor pulang ke rumahnya kira-kira 30 minit sebelum dikunjungi rombongan polis terbabit.

Terdahulu pada sebelah siangnya, sebuah lori berisi sejumlah barang yang tidak dapat dikenal pasti meninggalkan rumah Najib pada pukul 6.20 petang.

 

8.0
OVERALL SCORE
: 6.0
2 user votes x 9.0