Rompak lebih setengah juta ringgit duit bapa saudara, lepas agih wang, rakan siap guna sebagai hantaran kahwin

Oleh KIM SYAZIE

Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dilaporkan telah memecah masuk sebuah banglo di Petaling Jaya baru-baru ini dan membawa lari duit simpanan bapa saudara berjumlah RM630,000.

Remaja berkenaan bersama empat rakannya yang melakukan jenayah itu melarikan peti besi mengandungi wang tunai RM430,000 serta barang kemas bernilai RM200,000 yang disorokkan di ruangan rahsia di rumah terbabit.

Difahamkan, bapa saudaranya menyimpan wang di dalam rumah kerana tidak percayakan pada bank. Suspek juga mengetahui lokasi rahsia tempat penyimpanan wang tersebut.

Selain itu suspek mengetahui bahawa kediaman tersebut tidak berpenghuni ketika itu.

“Rumah mangsa merupakan sebuah banglo setingkat dan suspek utama ini sudah tahu rumah itu kosong kerana mangsa menyewa premis berkenaan hanya untuk menyimpan wang kerana dikatakan tidak percayakan bank,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Menurut Mohamad Fakhrudin, hasil siasatan mendapati suspek berjoli bersama beberapa rakan malah salah seorang daripada mereka menggunakan duit hasil curi terbabit sebagai wang hantaran dan berhibur.

“Pada 31 Ogos jam 3.30 petang, polis telah membuat serbuan ke atas sekumpulan 11 lelaki tempatan berumur 19 hingga 23 tahun yang sedang berhenti di sebuah stesen minyak di Seremban, Negeri Sembilan dipercayai sedang berkonvoi sempena hari kemerdekaan.

“Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan disyaki dibeli hasil wang curi dan siasatan lanjut membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki tempatan di sebuah rumah di Klang.

“Dipandu arah oleh suspek, polis berjaya menemui pelbagai barangan dibeli hasil wang curi di kediaman kesemua suspek di sekitar Klang,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.

Lima suspek memecah masuk ke rumah tersebut manakala suspek lain menerima sebahagian wang terbabit untuk membeli aplikasi permainan dalam talian, membayar bil, membaiki rumah dan lain-lain perbelanjaan tunai,” tambahnya lagi

Polis juga berjaya mengesan tunang kepada salah seorang suspek terbabit dan menemui seutas rantai emas dan wang tunai yang dijadikan hantaran.

Baca juga: Mungkin letih seharian bersekolah, aksi murid ini berbaring atas rumput sambil makan ais krim memang sempoi

Baca juga: Kembali tersebar teori Ratu Elizabeth II keturunan Nabi Muhammad, pendakwah perjelas hal sebenar