Rompin destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa

Rompin destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa

Daerah Rompin akan dibangunkan secara berperingkat menjadi sebuah destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa dalam masa terdekat.

Anggota Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin berkata mesyuarat khusus bersama pihak berkaitan yang dipengerusikan Unit Perancang Ekonomi negeri untuk membincangkan perancangan pembangunan itu akan diadakan pada 18 Feb ini.

“Pertumbuhan pusat bandar baharu ini akan memfokuskan kepada menjadikan daerah ini sebagai destinasi pelancongan penting berasaskan alam semulajadi (ekopelancongan) dengan produk pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan van serbaguna sumbangan Bank Rakyat kepada Masjid Al-Iman Kampung Leban Chondong di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah Datuk Seri Maznah Mazlan.

Hasan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, berkata terdapat banyak tempat menarik di daerah Rompin yang boleh dinaik taraf menjadi produk pelancongan terbaharu, antaranya Hutan Simpan Mencali serta Air Terjun Harimau Berjemur yang masih belum diterokai.

“Hutan Simpan Mencali ini satu-satunya di negara ini hutan simpan pesisiran pantai yang masih terpelihara dengan terdapat banyak herba dan dalam mesyuarat nanti saya akan minta Pejabat Hutan kenal pasti spesies dan bunga yang ada di dalam hutan ini,” katanya.

Beliau berkata selain itu tarikan baharu hidupan liar yang dikenal pasti adalah badak sumbu sumatera untuk tatapan pelancong kerana penduduk tempatan percaya masih terdapat dua atau tiga ekor lagi spesies haiwan ini di dalam Taman Negeri Endau-Rompin.

“Jadi saya akan minta pertolongan Jabatan Perhilitan mengesan kewujudan badak sumbu sumatera ini nanti,” katanya.

Katanya pembangunan tersebut akan memberi impak positif kepada ekonomi penduduk setempat apabila pelancong dijangka meningkat dua kali ganda dengan kewujudan pusat bandar baharu seumpama itu di daerah berkenaan.

CATEGORIES