Malaysia Dateline

Shazni Munir Mohd Ithnin

RON95 patut boleh turun ke paras RM1.90 seliter, kata Pemuda Amanah

Pemuda AMANAH Nasional berpendapat harga petrol RON95 masih boleh dikurangkan dengan mekanisme tertentu memandangkan tekanan kos sara hidup ditanggung rakyat terutama golongan muda.

Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, penurunan sebanyak dua sen pada minggu ini pada hakikatnya masih belum cukup untuk menangani kos perbelanjaan harian yang tinggi khususnya bagi pasangan muda yang sedang membina keluarga.

“Dengan beberapa mekanisme tabungan yang praktikal, harga RON95 sebenarnya boleh turun sekurang-kurangnya sebanyak RM0.31, iaitu ke paras RM1.90 seliter,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas harga runcit baru RON95 yang ditetapkan pada RM 2.19 seliter selepas naik sebanyak 32 sen mulai Jun lalu, beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh anak muda yang terlibat dalam protes kenaikan harga minyak anjuran Pemuda AMANAH Nasional pada minggu lalu.

“Protes yang digerakkan seluruh negara itu walau bukan satu-satunya punca untuk harga minyak diturunkan minggu ini, pastinya telah menggamit massa untuk lebih cakna dan vokal mempersoal inisiatif kerajaan dalam menangani ketidaktentuan harga minyak,” tegasnya.

Shazni Munir Mohd Ithnin

Dalam hal berkaitan, Shazni menyifatkan kaedah penetapan harga diesel dan petrol berasaskan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) pada masa ini juga tidak benar-benar telus.

“Baik, sekarang jawab, berapakah nilai sebenar Alpha yang digunakan kerajaan ketika ini? Malah ada yang mengesyaki bahawa kerajaan mengaut untung tinggi apabila harga runcit minyak tidak berubah banyak,” ujarnya.

Walhal, jelasnya, nilai ringgit ketika ini mencecah kadar tertinggi dalam tempoh 10 bulan.

“Nah, bolehkah menteri tampil dan jelaskan persoalan dan keraguan tersebut?” soalnya lagi.