Ronald Kiandee cadang prosiding PAC dijalankan secara langsung

Ronald Kiandee cadang prosiding PAC dijalankan secara langsung
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika mengadakan sidang media bersama ahli PAC di Bangunan Parlimen, hari ini

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mempertimbangkan cadangan beliau supaya membolehkan sidang prosiding PAC dijalankan secara siaran langsung.

Ronald berkata, cadangan itu diutarakannya bagi membolehkan pengamal media membuat liputan secara langsung mengenai prosiding yang dijalankan pihak PAC.

Katanya, pihak PAC juga telah menghantar surat rasmi kepada Datuk Mohamad Ariff berhubung perkara berkenaan.

“Namun, terdapat dua perkara yang dicadangkan saya masih tertunggak dan saya telah mencadangkannya secara agresif kepada Speaker Dewan Rakyat.

“Selain meminta menjalankan prosiding secara langsung, saya turut mengutarakan pandangan untuk membolehkan laporan PAC dibahas di Parlimen, kerana sebelum ini laporan itu tidak dibahas.

“Saya berpendapat laporan PAC tidak harus diletak di atas meja, tetapi harus menjadi topik perbincangan perbahasan dalam kalangan ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media PAC,di Parlimen, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi PAC yang baharu, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Timbalannya, Wong Kah Woh.

Dalam pada itu, Ronald berharap Speaker akan memberi peluang kepada laporan dibahas dengan mengadakan perbincangan tertentu dalam laporan mesyuarat.

Beliau menambah, laporan PAC adalah perkara serius yang harus diambil perhatian semua pihak termasuk pihak kementerian dan di kalangan ahli parlimen itu sendiri.

Ronald yang juga ahli Parlimen Beluran telah berkhidmat selama empat bulan bermula Ogos tahun lalu, dan kini tempatnya sebagai Pengerusi dalam PAC digantikan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad.