Malaysia Dateline

Ronald Kiandee serah kedudukannya kepada PM

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyerahkan status jawatannya kepada keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran itu menyatakan akan akur dengan keputusan Perdana Menteri sekiranya kedudukannya diganti individu lain.

“Saya juga beberapa kali memaklumkan bahawa saya akur kepada keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri berkenaan kedudukan saya.

“Saya sedia diganti jika Pengerusi PAC baharu sudah dikenalpasti,” katanya ketika ditemui media di Parlimen, seperti dipetik Sinaronline hari ini..

Ronald bagaimanapun, menyatakan tiada isu untuk beliau melepaskan jawatan tersebut memandangkan Dr Mahathir memberitahu beliau kekal meskipun kini sudah menyertai parti komponen kerajaan.

Isu letak jawatan tak berbangkit kerana Perdana Menteri katakan saya kekal Pengerusi PAC sehingga ada pengganti baharujelasnya.

Malah beliau juga menegaskan tidak berasa tertekan dengan tindakan tiga ahli Parlimen pembangkang yang meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati pengekalan jawatannya.

“Saya cuma akur dengan keputusan oleh ketua majlis iaitu Perdana Menteri.Tidak timbul juga isu tak cukup, memandangkan empat ahli jawatankuasa letak jawatan. Asas mesyuarat cuma perlukan seorang pengerusi dan tiga ahli jawatankuasa, hari ini kita ada pengerusi dan enam ahli jawatankuasa,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, PAC masih belum menerima surat peletakan jawatan daripada tiga Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai jawatankuasa tersebut.

Katanya, bagaimanapun PAC masih boleh mengadakan mesyuarat kerana terdapat sembilan anggota lain.