Malaysia Dateline

Pertimbang tukar Pengerusi PAC, Ronald Kiandee setakat ini kekal

Perdana Menteri memberitahu Datuk Seri Ronald Kiandee setakat ini kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Bagaimanapun, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini sedang mempertimbangkan untuk mencari calon yang sesuai bagi memegang jawatan tersebut.

Jelasnya, pemilihan Pengerusi PAC bukan berkaitan perundangan tetapi janji PH.

Untuk rekod, PH sebelum ini berjanji supaya Pengerusi PAC akan dipilih dalam kalangan pemimpin parti pembangkang.

“Kita boleh buat bila-bila masa (ganti Pengerusi PAC).

“Bukan satu keperluan (ganti Ronald) bila berlakunya sesuatu pertukaran (parti pembangkang kepada kerajaan),” kata Mahathir pada sidang akhbar di Kuala Langat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai anggota PAC susulan isu kepemimpinan jawatankuasa itu.

Nurul Izzah dilaporkan telah meletakkan jawatan sebagai seorang daripada ahli PAC disebabkan tidak berpuas hati dengan pemilihan kepemimpinan PAC.

Isu mengenai jawatan PAC timbul apabila Ronald menjadi salah seorang daripada wakil rakyat Sabah yang meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu dipimpin Dr. Mahathir.