Ronnie Liu bimbang dianggap bersimpati terhadap komunis

Ronnie Liu bimbang dianggap bersimpati terhadap komunis

Pemimpin DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew memberitahu bimbang kehadirannya dalam perjumpaan melibatkan bekas Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang hari ini dianggap sebagai bersimpati dengan kumpulan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pelek tersebut berkata, kehadirannya sehari sebelum ulangtahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989 itu memandangkan datuk dan abangnya terlibat dalam PKM sebelum ini.

Sehubungan itu, dia menjelaskan kehadirannya adalah bersifat peribadi.

Penglibatan datuknya dalam gerakan komunis, kata Ronnie, adalah untuk membebaskan Malaya daripada British selepas berjaya mengusir Jepun keluar dari negara ini.

Menurutnya, penglibatan datuk Ronnie dalam komunis telah menyebabkan beliau dibuang ke China.

“Saya bimbang ucapan saya di sini hari ini akan menyebabkan saya dianggap sebagai komunis atau bersimpati terhadap komunis, tetapi saya masih rasa terpanggil untuk bercakap di sini,” dipetik Malaysiakini.

Dilaporkan, hampir 400 orang bekas ahli PKM menghadiri perjumpaan tersebut di New Era University College.

Turut hadir dalam program bermula jam 10.15 pagi itu ialah veteran PKR Syed Hussin Syed Ali.

Selain Ronnie, beberapa bekas anggota PKM turut berucap. Salah seorangnya, Tan Yi Yu yang berkata, pertemuan itu bukan sahaja untuk mengingati sejarah mereka.

Sebaliknya, tegas Yi Yu, bagi membetulkan salah faham terhadap perjuangan mereka.

“Perjuangan PKM adalah perang terhadap kolonial dan imperialisme, berjuang untuk kemerdekaan negara, demokrasi, kebebasan dan kedamaian,” katanya lagi.

Pertemuan bekas PKM berlaku ketika polis sedang menyiasat bagaimana abu mayat Chin Peng dua bulan lalu ‘lolos’ ke Perak.

Selain Yi Yu, turut berucap ialah Wang Liang Gui, Yin Gee dan Wang Pah Sam.

Pertemuan bekas anggota PKM itu berlaku ketika polis sedang menyiasat bagaimana abu mayat Chin Peng boleh dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja program itu, Wong Kam Leong dilapor memberitahu, pertemuan melibatkan kebanyakan bekas ahli PKM yang berusia antara 60 hingga 80 tahun itu adalah kali pertama diadakan.

Menurutnya, faktor ekonomi yang mana sumber kewangan yang terhad menyebabkan pertemuan sempena ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai itu tidak pernah diraikan sebelum ini.

Dalam hal berkaitan, polis dilapor berkata, perbuatan membawa masuk abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilakukan oleh satu kumpulan tertentu sebelum abu itu ditaburkan di laut dekat Lumut, Perak dan di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Polis turut memberitahu sedang melakukan siasatan mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memandangkan laporan media dan perbuatan membawa masuk abu itu dianggap boleh menggugat ketenteraman awam.

Sejarah pendudukan Jepun di Tanah Melayu menyaksikan kerajaan British menerima tawaran PKM untuk menentang Jepun melalui perjanjian pada 8 Disember 1940.

Namun, selama kira-kira 14 hari selepas Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, tentera komunis keluar dari hutan dan menawan beberapa buah balai polis serta membalas dendam membunuh orang Melayu yang dituduh bersubahat menjadi ejen Jepun.

Menurut Mohd. Reduan Haji Asli dalam bukunya, ‘Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), keganasan PKM ketika itu menyebabkan pertempuran dan pertumpahan darah antara orang Melayu dan orang Cina terutamanya di Teluk Anson (kini Teluk Intan) dan Batu Pahat.

Di Perak juga, komunis telah melakukan banyak kekacauan dan menakut-nakutkan penduduk antaranya di Sungai Manik dan Batu Kikir.

Reduan turut menulis komunis masuk ke kampung dan menangkap ayam, merampas sayur penduduk dengan membawa senapang patah serta menimbulkan kekacauan di kawasan Bidor, Lenggong dan Kroh.

Pengganas komunis juga membakar rumah orang kampung serta menggantung mayat-mayat yang menjadi mangsa pembunuhan mereka di kawasan tanah lapang di Klian Intan di utara Perak.

Anggota komunis juga dikatakan cuba mensabotaj kemerdekaan negara 10 hari sebelum 31 Ogos 1957 sebelum dipatahkan Sarjan Hassan apabila menggagalkan usaha 400 hingga 500 anggota komunis di Water Fall Estate, Rawang Selangor.

Sarjan Hassan menggagalkan usaha 400 hingga 500 anggota komunis di Water Fall Estate, Rawang Selangor yang cuba mensabotaj kemerdekaan negara.

Tamatnya darurat pada tahun 1960 yang berlangsung selama 12 tahun menyaksikan banyak nyawa anggota tentera, polis dan orang awam terkorban.

Sehubungan itu, kerajaan telah memilih 31 Julai sebagai sambutan Hari Pahlawan Negara bagi menghargai bakti dan pengorbanan pasukan keselamatan.

New Era University College menjadi tempat pertemuan bekas tentera komunis hari ini.

 

Antara buku yang menghuraikan keganasan komunis di Malaya.