Ronnie Liu, pimpinan PH henti keluarkan kenyataan berbaur perkauman, kata Pemuda AMANAH

Ronnie Liu, pimpinan PH henti keluarkan kenyataan berbaur perkauman, kata Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH Nasional memandang serius kenyataan dibuat Ronnie Liu Thian dan mengingatkan semua pimpinan Pakatan Harapan (PH) agar tidak mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman yang boleh mengguris perasaan rakyat.

Naib Ketua AMANAH Kevin Shawn Gomez berkata, seharusnya perpaduan kaum wajib dipelihara dan dipulihara dalam era Malaysia Baharu.

“AMANAH memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu Thian Khiew amatlah mendukacitakan, memandangkan ia menjadi aspirasi dan ikrar janji Pakatan Harapan yang ditandatangani bersama oleh pimpinan tertinggi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ronnie Liu

“Apakah YB Ronnie sudah lupa mengenai perjanjian ini? Jika beliau sudah lupa atau buat-buat lupa, maka Pemuda AMANAH Nasional mencadangkan agar beliau menyemak semula dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menandatangani dokumen tersebut mewakili parti DAP,” ujarnya dalam kenyataan.

Kata Kevin lagi, rakyat Malaysia sudah mula mual dengan tindak-tanduk ahli politik yang cuba mempolitikkan segala benda tanpa menghiraukan rakyat yang semakin tertekan dengan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Apa guna menjadi ahli politik jika sekadar ingin mengadu domba dan menyemai api-api kebencian antara kaum?

” Pemuda AMANAH Nasional ingin mengingatkan YB Ronnie agar beliau menghargai usaha para aktivis dan jentera Pakatan Harapan yang bertugas tanpa mengenal erti penat-lelah dalam cubaan meyakinkan rakyat bahawa Pakatan Harapan adalah pembela nasib semua kaum.

“YB Ronnie juga harus berterima kasih kepada aktivis-aktivis yang berusaha ‘memutihkan’ imej DAP dikalangan masyarakat Melayu.

“Belajar lah dari YB Lim Kit Siang, YB Ong Kian Ming & YB Yeo Bee Yin bagaimana mereka mendekati dan menyantuni masyarakat pelbagai kaum, sesungguhnya ‘role model’ yang ‘master class’ ini berada di dalam parti YB sendiri,” ujarnya.

Semalam Ahli jawatankuasa Eksekutif DAP, Ronnie Liu mengingatkan Pakatan Harapan agar tidak menjadi lebih Melayu berikutan kekalahan mereka pada pilihan raya kecil Dun Semenyih, Sabtu lalu.

Liu berkata bahawa PH muncul sebagai pemenang pada pilihan raya umum tahun lalu kerana ia membawa mesej pluralistik.

Justeru, katanya, meniru BN semata-mata kerana kekalahan di Semenyih akan membawa padah dan bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh gabungan pemerintah selama ini.