Malaysia Dateline

Ronnie tak seharusnya pertikai kesepakatan dalam PH, kata Pemuda Harapan

Pemuda Harapan hari ini bertegas menyatakan tindakan Ronnie Liu yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai sikap tidak bertanggungjawab dan perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan perkara berkenaan, sambil menyifatkan ahli DAP itu tidak seharusnya mempertikaikan kesepakatan dan keharmonian yang wujud di dalam PH.

“Pemuda Harapan percaya bahawa PH bersikap terbuka jika ada mana-mana ahli PH yang ingin memberi sebarang kritikan yang konstruktif.

“Malangnya, kenyataan daripada YB Ronnie Liu amat tidak bertanggungjawab dan perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.

“Pemuda Harapan berterima kasih kepada Anthony Loke dan jawatankuasa tinggi DAP kerana mengambil tindakan segera membawa Ronnie Liu ke Jawatankuasa Disiplin Parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama tiga lagi pemimpin pemuda PH iaitu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Sany Hamzan dan Ketua DAPSY, Howard Lee Chuan How.

Pemuda Harapan senada mengatakan tindakan Ronnie itu hanya akan membawa spekulasi yang tidak perlu dan mencipta pertelingkahan antara parti komponen PH.

Jelasnya, perjalanan membina Malaysia Baharu memerlukan ketekunan, kerjasama dan usaha keras setiap satu parti komponen dalam PH.

Malah katanya, semangat Malaysia Baharu juga haruslah sentiasa menjadi panduan apabila berhadapan dengan sebarang konflik atau perselisihan faham dalam PH.

“Janganlah kita lupa tujuan asal kita dipilih oleh rakyat. Hentikanlah sebarang cubaan untuk berselisih faham dan terus fokus berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.