Malaysia Dateline

RoS minta baiki pendaftaran Pejuang

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meminta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) melakukan beberapa pindaan ke atas permohonan pendaftaran parti itu.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Penubuhan Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah memberitahu hal tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

“Pindaan-pindaan tersebut adalah berkaitan isu-isu teknikal kecil yang akan dilakukan dengan kadar segera.

“Saya yakin pendaftaran Pejuang akan segera mendapat kelulusan setelah pindaan tersebut dilakukan,” katanya yang bertemu dengan pihak RoS pagi tadi.

Pejuang mengemukakan permohonan rasmi penubuhannya sebagai parti politik kepada RoS) pada 19 Ogos lalu.

Parti itu berlogokan motif huruf Jawi ‘pa’ mewakili maksud pejuang manakala tiga titik adalah lambang tiga rukun iaitu Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara.

Pada 7 Ogos lalu, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu yang kemudiannya dinamakan sebagai ‘Pejuang’.

Dr Mahathir berkata, Pejuang akan dipimpin oleh anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai Presiden dan beliau sendiri sebagai Pengerusi.