Malaysia Dateline

RoS tarik balik penggantungan sementara MTUC

Pendaftar Pertubuhan (RoS) menarik semula penggantungan sementara Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang dikenakan sejak 19 Disember lalu.

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor, berkata surat penarikan semula itu diterima semalam yang memaklumkan ROS tidak akan membatalkan pendaftaran kongres itu.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada ROS yang menarik semula penggantungan sementara dan tidak meneruskan sebarang langkah membatalkan pendaftaran kesatuan yang mewakili kira-kira 15 juta pekerja.

“Mereka bukan hanya menerima penjelasan MTUC berhubung isu berbangkit tetapi membuat keputusan dengan cepat demi kepentingan pekerja dan kesatuan sekerja di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama dengan Setiausaha Agungnya, J Solomon seperti dipetik laporan Berita Harian hari ini.

Abdul Halim berkata, kedua-dua keputusan itu diambil susulan ROS berpuas hati dengan penjelasan diberi MTUC dan dokumen sokongan dikemukakan.

“Penjelasan dan bukti sokongan sebagai tindak balas terhadap beberapa isu dibangkitkan ROS, timbul daripada aduan individu tertentu yang tidak berpuas hati.

“Surat itu turut mengarahkan kami mengeluarkan pemberitahuan relevan secepat mungkin untuk mengadakan Persidangan Delegasi Triennial MTUC (TDC) selaras Perlembagaan MTUC,” katanya.

Beliau berkata, RoS Selangor akan terus membuat pemantauan terutama memastikan persidangan itu diadakan mengikut peraturan ditetapkan dalam perlembagaan MTUC.

Katanya, keputusan RoS membatalkan penggantungan dan mengeluarkan pemberitahuan pembatalannya yang digantung selama tiga minggu itu, membolehkan kesatuan kembali menjalankan fungsi secara bertanggungjawab, selain memberikan penjelasan memuaskan kepada pertanyaan pihak berkenaan.

Mengenai TDC, Abdul Halim berkata, kepemimpinan MTUC sudah memanggil Mesyuarat Pertubuhan Jeneral Khas pada 2 Februari depan yang akan memutuskan semua perkara dan persiapan berkaitan mengikut peraturan Perlembagaan MTUC.

“Kepemimpinan akan melaksanakan segala langkah perlu untuk TDC diadakan dengan ketelusan dan penuh integriti. Kesungguhan ROS memainkan peranan ke arah ini sangat dihargai.

“Justeru kita berharap semua ahli dan gabungan MTUC memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan dalam minggu-minggu akan datang untuk memastikan persidangan terbabit dengan demokrasi dan berintegriti.

“Pilihan raya MTUC yang diadakan di TDC mesti memperkasakan kredibiliti kesatuan di mata pekerja dan rakyat,” katanya.