Malaysia Dateline

‘Rosak Parlimen pelantikan Speaker baru tanpa hujahan undang-undang’

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu tidak mengikut undang-undang.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, pelantikan Datuk Azhar Harun sebagai Spekear merupakan hari paling menyedihkan bagi demokrasi berparlimen di negara ini.

“Rosak Parlimen pelantikan Speaker baru tanpa hujahan yang mengikut undang-undang. Hari menyedihkan untuk demokrasi berparlimen,” ciapnya di Twitter.

Beliau berkata, tiada alasan munasabah juga apabila diaju kewajaran melantik Speaker baharu.

“Alasan tukar Speaker Dewan Rakyat kerana ada nama baru. Tanya backbencher apa alasan selain ada namu baru?

“Tiada alasan! Welcome Parlimen bawah PN!,” tempelak Mujahid lagi.

Sementara itu, Azhar yang juga dikenali sebagai Art Harun memberitahu beliau dipelawa untuk menerima jawatan terbabit dan bukannya diarah.

“Tidak, saya tidak dipaksa atau diarah. Saya dijemput oleh kerajaan untuk menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat dan ini jelas satu penghargaan kepada saya dan keluarga.

“Jemputan itu berlaku sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini,” ujarnya.