Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan seorang wanita berusia 38 tahun membayar ganti rugi RM200,000 kepada seorang suri rumah kerana telah meruntuhkan rumah tangga yang telah dibina menjangkau lima dekad.
Difahamkan, perempuan ‘simpanan’ terbabit dinamakan sebagai responden bersama dalam tuntutan pemisahan kehakiman yang difailkan oleh suri rumah itu terhadap suaminya selain turut menuntut nafkah dan pembahagian harta.
Hakim Evrol Mariette Peters turut memerintahkan sang suami berusia 74 tahun yang telah diputuskan melakukan hubungan luar nikah untuk membayar nafkah berjumlah RM205,000 secara sekali gus kepada isterinya berumur 72 tahun.
Peters juga mengarahkan aset perkahwinan pasangan itu untuk dibahagikan sama rata manakala suami berkenaan menafikan bahawa dirinya telah berlaku curang kerana mendakwa mengalami masalah mati pucuk, lapor Free Malaysia Today.
Bukan itu sahaja, sang suami hanya dikenali sebagai PAI dan juga perempuan simpanannya digelarkan KAI turut diperintahkan untuk membayar sebanyak RM100,000 sebagai kos kepada isterinya yang dirujuk sebagai HAI.
Menurut Peters walaupun keterangan mengikut keadaan, namun tetap menggambarkan naratif yang kuat dan koheren mengenai hubungan penzinaan di antara suami dengan perempuan simpanannya.
Bahkan terdapat keterangan bahawa mereka berkongsi kediaman yang mana suami akan bermalam di rumah perempuan simpanan itu, berkongsi tempat tinggal di Singapura, serta berusaha hamil menerusi persenyawaan in-vitro (IVF) selain pengakuan dibuatnya kepada isteri.
Pembelaan suami itu bahawa dirinya sudah tidak mampu lagi melakukan hubungan seksual berikutan mendakwa mengalami masalah mati pucuk turut ditolak oleh Peters kerana tidak disokong dengan bukti.
“Sepanjang perbicaraan, dia mendakwa masalah mati pucuknya menyebabkan tiada lagi hubungan seksual dengan isterinya, dan dia tidak mungkin terlibat dalam hubungan perzinaan dengan perempuan simpanannya,” katanya dalam penghakiman.
Jelas Peter, suami terbabit gagal memberikan sebarang keterangan sokongan seperti laporan perubatan, testimoni pakar atau dokumentasi yang menyokong serta mengesahkan dakwaannya mengalami mati pucuk atau tahap keterukannya sekiranya benar.
Suami kemudian memberi alasan bahawa keputusannya untuk meneruskan IVF itu didorong oleh masalah mati pucuk yang mengakibatkan ketidakupayaannya untuk menghamilkan wanita simpanannya secara semula jadi.
Walau bagaimanapun, Peters berkata tiada hubung kait secara automatik di antara keupayaan seseorang untuk melakukan hubungan seksual dengan ketidakupayaan bagi menghamilkan seorang wanita.
Peters berkata bahawa sekiranya seorang lelaki itu tidak dapat menyebabkan seseorang wanita mengandung tidak semestinya bermaksud dia tidak mampu melakukan hubungan seksual.
Manakala wanita simpanan diperintah untuk membayar ganti rugi dan kos selepas diputuskan bahawa dirinya sedia maklum tentang komitmen serta tanggungjawab lelaki tersebut terhadap keluarganya, yang menjadikan tindakannya lebih merisaukan.
“Dengan meneruskan hubungan perzinaan (dengan lelaki itu), perempuan simpanan itu mendedahkan beliau langsung tidak mengendahkan kesejahteraan emosi isteri (lelaki itu),” ujarnya memetik laporan Free Malaysia Today.
Tambahan pula, pesanan e-mel antara si suami dengan kekasih simpanannya itu mendedahkan bahawa wanita terbabit secara berterusan mendesak agar menceraikan isterinya sekali gus memberi kesan kepada kestabilan perkahwinan tersebut.
“Usaha perempuan simpanan itu mengandungkan anak lelaki tersebut melalui IVF, menunjukkan niatnya untuk mewujudkan hubungan yang kekal dan tidak boleh diputuskan dengan lelaki itu,” ulasnya.
Hakim turut memberikan separuh nilai aset perkahwinan kepada pihak isteri yang menurutnya adalah penilaian adil kerana wanita terbabit telah mengorbankan kerjayanya, hak untuk mendapat gaji atau dividen daripada perniagaan keluarganya.
Ujarnya, dedikasi si isteri terhadap kebajikan keluarganya yang tidak berbelah bahagi selain turut menjaga suaminya ketika lelaki terbabit jatuh sakit adalah satu lagi daripada faktor pertimbangan penting
“(Usaha) membesarkan enam anak dan menyara tiga cucu selama ini memerlukan masa, tenaga dan komitmen yang besar,” jelasnya mengenangkan nasib sang isteri dalam penghakiman tersebut.sihat.
Walaupun mempunyai kelulusan diploma dalam bidang pengajian perniagaan, isteri lebih memilih melepaskan cita-cita profesionalnya demi menjadi suri rumah selepas melangsungkan perkahwinan pada 1977.
Manakala suaminya pula memiliki kesempatan untuk mencapai kejayaan dengan mengasaskan beberapa perniagaan yang membuktikan kepintarannya sebagai usahawan.
Terdahulu, pihak isteri mendakwa pada September 2022, suaminya sendiri yang mengakui mempunyai hubungan dengan perempuan simpanannya sebelum suri rumah itu memfailkan memfailkan petisyen pemisahan kehakiman dan menuntut nafkah sebulan kemudian.
Suri rumah itu meminta separuh dari nilai semua harta alih dan tak alih terkumpul sepanjang di dalam tempoh perkahwinan selain berusaha menuntut tanggungjawab perempuan simpanan suaminya di atas peranannya meruntuhkan perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan.
Baca juga: “Aku ni dah macam kuli, semua benda aku kena buat, ipar pula sedap ‘complain’ macam dia buat kerja”