Malaysia Dateline

Rosdy bertemu seramai mungkin pengundi Tanjung Keramat

Calon Warisan N24 DUN Tanjung Keramat, Rosdy Wasli meneruskan kempen dengan menemui seramai mungkin pengundi.

Jadual jelajah pemimpin AMANAH itu bermula seawal jam 4.30 pagi dengan solat Subuh di Masjid As Salam di Kampung Contoh.

Beliau yang bertanding atas tiket Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini kemudiannya bersarapan bersama masyarakat di Taman Jumbo, Petagas.

“InshaAllah hari ini saya akan bertemu seramai mungkin pengundi di N24 Tanjung Keramat.

“Seperti biasa, saya akan cuba mendengar setiap pesanan dan harapan masyarakat di N24 Tanjung Keramat,” katanya.

Berbaki lagi 10 hari tempoh kempen, jelajah satu-satunya calon AMANAH bagi PRN kali ini dijadualkan juga menyantuni peniaga di pasar dan bangunan kedai Taman Jumbo.

Pegawai Insolvensi berkenaan yang menjadi antara 54 calon Warisan Plus itu juga akan menziarahi pesakit dan warga emas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Putih.

“Dari dulu sampai kini, masa depan Sabah tetap menjadi keutamaan saya khususnya untuk N24 Tanjung Keramat.

“Tekad saya berkhidmat untuk Tanjung Keramat,” kata pemegang Diploma Pentadbiran Awam (DPA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pengkhususan Pentadbiran Awam & Undang-Undang itu lagi.

Rosdy yang menjadi calon nombor empat antara 447 calon mewakili pelbagai parti pada PRN Sabah ke-16.

Beliau bertempur lima penjuru dalam gelanggang di Tanjung Keramat yang merupakan kerusi baharu dengan jumlah 14,350 pengundi.

Pesaingnya ialah Faezah Ibnu dari Parti Liberal Demokratik (LDP), Ira Elza Uzair Yahaya dari Parti Cinta Sabah (PCS), Shahelmey Yahya (BN-UMNO) dan calon Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Mohd Salleh Lamsin.

Selain Tanjung Keramat, terdapat 14 DUN lagi menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Pertandingan tiga penjuru membabitkan tiga DUN, empat penjuru (5), enam penjuru (26), tujuh penjuru (13), lapan penjuru (6) dan sembilan penjuru (3).

Sementara itu, DUN Inanam menyaksikan pertembungan 10 penjuru manakala DUN Bengkoka sebanyak 11 penjuru.