Malaysia Dateline

Rosmah dakwa bekas pembantu berkomplot dengan AGC

Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah beliau bagi projek solar berkomplot dengan bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor untuk membabitkannya, meskipun mengaku tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pegawai dari Jabatan Peguam Negara (AGC).

Bagi mengesahkan perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kemudian memperkenal Rosmah, 69, kepada tujuh Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kesnya sebelum prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini dan beliau berkata ‘Saya hanya kenal kebanyakan mereka di mahkamah’.

Antara Timbalan Pendakwa Raya yang diperkenal oleh Sri Ram ialah Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P Kunyalam, Poh Yih Tinn dan Nadia Mohd Izhar.

Rosmah kemudian menyoal, mengapa Sri Ram tidak memperkenal dirinya dan beliau menjawab ‘kerana saya bukan dari AGC’, lapor Bernama.

Sebagai respons, Rosmah berkata ‘tetapi anda dilantik (oleh AGC). Anda memiliki fiat (surat kuasa)’ namun Sri Ram hanya berkata ‘mari kita teruskan kes ini.’

Sri Ram: Pembelaan anda ialah mereka (Rizal dan pegawai AGC) membina satu kes palsu untuk membabitkan anda.

Rosmah: Betul.

Rosmah bagaimanapun tidak bersetuju bahawa tidak ada asas untuk Rizal berkomplot dengan AGC dalam memberikan keterangan palsu terhadap beliau.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh Sri Ram pada hari ketiga pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadapnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Terdahulu, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, Rizal adalah seorang pekerja yang tidak cekap, namun perkara itu tidak pernah dibangkitkan secara terus kepada bekas pembantunya itu, sebaliknya beliau memaklumkan pegawai khas Najib iaitu Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

“Ketika dia mula-mula bekerja dengan saya, dia ditugaskan untuk menulis teks ucapan. Bahasa dan kandungannya amat hambar, ia bukan jenis ucapan yang sepatutnya disampaikan isteri perdana menteri,” katanya.

Rosmah berkata, beliau bukan individu yang memberikan gelaran ‘Datuk’ kepada Rizal, namun membantu mencadangkan namanya kepada Sekretariat Negeri Pahang atas dasar kasihan.

Sri Ram: Tetapi cadangan anda diterima.

Rosmah: Mungkin kerana saya adalah isteri Perdana Menteri.

Kepada soalan berikutnya, Rosmah menafikan beliau mempunyai tabiat meminta orang lain ‘melakukan tugasan bagi pihaknya’ apabila menginginkan sesuatu.

Sri Ram kemudian memberikan contoh ketika Rosmah meminta kenalannya, Aizulhaimi Mohd Termizi membuat laporan polis bagi pihaknya sebelum ini, yang dinafikan tertuduh dan berkata ‘Saya tidak meminta, tetapi beliau yang mencadangkannya kepada saya (untuk membuat laporan polis).’

Sri Ram: Itulah yang saya maksudkan, ia sama seperti ketika anda mahukan wang daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, namun anda memintanya melalui Rizal.

Rosmah: Saya tidak bersetuju.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek hibrid solar secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Lapor Bernama lagi, perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada 21 Oktober depan.