Malaysia Dateline

Rosmah dan Rizal masing-masing diikat jamin RM1 juta

Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Hakim Azman Ahmad membenarkan Rosmah, 66, membayar jaminan RM500,000 hari ini manakala bakinya hendaklah diselesaikan dalam masa tujuh hari dan menetapkan 10 Dis untuk sebutan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar mencadangkan  wang jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin terhadap Rosmah dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah bersetuju dengan jumlah itu bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa pasport anak guamnya telah diserahkan kepada Mahkamah Sesyen berlainan bagi kes lain.

“Pihak pembelaan juga memohon supaya bayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh 10 hari,” katanya.

Bagaimanapun Umar Saifuddin membantah permohonan itu dan memohon supaya jumlah RM1 juta itu dilunaskan sekali gus.

Terdahulu, selepas pertuduhan dibacakan Rosmah yang memakai baju kurung dan tudung serba hijau menjawab “tak salah dan minta dibicarakan”.

Suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir ke mahkamah dan kelihatan memegang tangan isterinya semasa mereka berjalan masuk ke bilik bicara.

Turut kelihatan di mahkamah ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki , Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, Anggota Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor, 44,  yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek sama, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang  penjamin.

Hakim Rozina Ayob turut membenarkan permohonan peguam Ridha Abdah Subri, yang mewakili Rizal supaya tertuduh membayar jaminan itu secara ansuran iaitu RM500,000 dibayar hari ini dan bakinya dibayar selewat-lewatnya pada 22 Nov.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar berkata kedua-dua pihak bersetuju tertuduh dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin tetapi pihaknya membantah jaminan itu dibayar secara ansuran.

Bagaimanapun, Ridha Abdah yang mewakili Rizal bagaimanapun memohon jaminan berkenaan dibayar secara ansuran atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang dia ditahan reman.

“Anak guam saya juga datang ke mahkamah hari ini secara sukarela dan tidak pernah melanggar apa-apa syarat jaminan ketika direman. Hari ini juga, penjamin kepada anak guam turut hadir ke mahkamah iaitu isteri dan adik perempuannya,” kata beliau.

Kamal Baharin turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes yang dihadapi Rizal mempunyai kaitan dengan kes yang dihadapi Rosmah.

“Oleh itu, saya memohon tempoh masa dua minggu untuk pihak kami membuat permohonan supaya kedua-dua kes berkenaan dibicarakan bersama,” katanya.

Bagaimanapun, Hakim Rozina mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan permohonan rasmi dan menetapkan 29 Nov untuk sebutan semula kes.

Di awal prosiding, Rizal, yang memakai kemeja berbunga serta kot berwarna hitam, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan satu persatu oleh jurubahasa mahkamah.

Dia yang tenang ketika berada di kandang tertuduh berkata: “Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan”.

— BERNAMA