Rosmah disiasat kerana penggubahan wang haram pula

Rosmah tiba ke pejabat JSJK untuk soal siasat ekoran rampasan terhadap barangannya sebelum ini. Gambar The Malaysian Insight.

Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor disiasat lagi pagi ini dan kali ini oleh polis pula kerana penggubahan wang haram.

Beliau tiba di ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Menara KPJ, Kuala Lumpur jam 9.43 pagi tadi, lapor The Malaysian Insight.

Beliau yang berbaju kurung warna putih hadir ditemani dua anak lelakinya, Norashman dan Riza Aziz, menaiki kereta Perdana hitam dan BMW.

Pada awalnya soal siasat itu dijadualkan pada Khamis, semalam tetapi ditangguhkan ke jam 10 pagi ini.

Rosmah dipanggil oleh unit pencegahan pengubahan wang haram dalam satu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Beberapa premis dikaitkan dengan Najib diserbu polis pada Mei. Antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah wang tunai, barang kemas, dokumen dan barangan mewah lain.