Malaysia Dateline

Rosmah hadir hari pertama perbicaraan kes rasuah

Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah di sini pagi ini untuk menghadiri prosiding perbicaraan tiga kes rasuah berkaitan projek tenaga solar yang dihadapinya.

Bernama melaporkan hari ini beliau yang memakai baju kurung dan berselendang warna hijau tiba di mahkamah pada 9.53 pagi dengan menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam dan ditemani beberapa pembantu dan juga peguamnya.

Rosmah yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta Isnin lepas untuk menerima rawatan dilihat memakai ‘tag hospital’ pada pergelangan tangan kanan serta keadaannya sedikit lemah.

Hari pertama perbicaraan rasuah Rosmah yang ditunggu-tunggu dijadualkan bermula pada Isnin lepas bagaimanapun terpaksa ditangguhkan hari ini selepas beliau tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan diberikan sijil cuti sakit sehingga 8 Feb.

Berdasarkan laporan perubatan daripada sebuah hospital swasta, yang dibacakan di dalam mahkamah, Rosmah mengalami sakit leher teruk yang berulang-ulang dengan radikulopati anggota atas kiri dan beliau juga mengadu pening ketika berbaring dalam posisi salah.

Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di tiga tempat iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall di Jalan Putra; di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan Seri Perdana Residence, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Mac dan 7 Sept 2018.

Berikut adalah pernyataan pembukaan pihak pendakwaan bagi kes isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

TERTUDUH dalam kes ini adalah isteri kepada bekas Perdana Menteri. Secara sendirinya, beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi. Bagaimanapun, beliau dianggap sebagai seorang yang berpengaruh disebabkan sifatnya yang suka menguasai orang lain.

Tertuduh meletakkan dirinya dalam kedudukan yang boleh mempengaruhi keputusan di sektor awam.

Pihak pendakwaan akan mengemukakan bukti langsung dan bukti keadaan bahawa tertuduh cuba mendapatkan dan menerima rasuah seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

JEPAK Holdings sebuah syarikat sendirian berhad di mana ketika pertuduhan, Saidi Abang Samsudin merupakan Pengarah Urusan dan pemegang saham utama JEPAK. Saidi ingin mendapatkan projek daripada Kerajaan Persekutuan bagi syarikatnya, secara spesifik, beliau mahu diberikan kontrak bagi menjalankan projek solar untuk manfaat 369 sekolah di seluruh pedalaman Sarawak.

Saidi cuba mendapatkan kontrak itu daripada Kementerian Pendidikan bersama rakan kongsinya, Rayyan Radzwill Abdullah. Mereka cuba mendekati Mahdzir Khalid, yang ketika itu Menteri Pendidikan Malaysia dengan mengaturkan satu pertemuan. Bagaimanapun, perjumpaan itu tidak memberi sebarang hasil kepada mereka.

Saidi dan Rayyan kemudian mendekati Aazmey Abu Talib, yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan suami tertuduh bagi mendapatkan sokongan terhadap permohonan mereka bagi projek berkenaan. Melalui bantuan Aazmey, Saidi berjaya mendapatkan minit daripada suami tertuduh menerusi surat permohonan sokongan. Namun, ia tidak membantu dalam mempercepatkan perkara itu dengan Kementerian Pendidikan.

Saidi dan Rayyan berusaha untuk mendapatkan projek solar hibrid bagi JEPAK. Namun, ia tidak menunjukkan sebarang hasil positif. Mereka kemudian menggunakan jalan terakhir dengan menghubungi tertuduh melalui Rizal Mansor.

Rizal Mansor mengaturkan pertemuan antara Saidi, Rayyan dan tertuduh.

Perjumpaan yang berlaku antara Januari dan April 2016 diadakan secara sulit di kediaman peribadi tertuduh di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. Saidi mahu mendapatkan jaminan daripada tertuduh bahawa beliau akan membantu JEPAK.

Sebagai balasan, Saidi bersedia memberikan sejumlah wang yang besar kepada tertuduh.

Bukti akan menunjukkan peranan aktif tertuduh dalam mendapatkan projek untuk JEPAK. Balasan atas pertolongan itu, beliau meminta dan menerima rasuah.

Menurut Saidi, pada perjumpaan 2016, permohonan JEPAK yang mengandungi minit daripada suami tertuduh ditunjukkan kepada beliau. Saidi kemudian membuat tawaran untuk memberi sumbangan politik kepada suami tertuduh sebagai tanda penghargaan kerana menyokong permohonan itu.

Adalah penting untuk diambil kira bahawa tertuduh tidak mempunyai sebarang jawatan penting dalam mana-mana parti politik pada waktu itu. Tertuduh mengetahui bahawa “sumbangan politik” yang dimaksudkan adalah pemberian rasuah kepada beliau.

Pembayaran itu bergantung kepada pengaruh tertuduh dalam mendapatkan kontrak solar hibrid bagi syarikat Saidi.

Selepas perjumpaan itu, tertuduh menambah dan menaikkan jumlah sumbangan politik kepada RM 187.5 juta, anggaran sebanyak 15% daripada nilai RM 1.25 bilion. Beliau menggunakan Rizal Mansor untuk mendesak dan berunding mengenai suapan yang akan dibayar kepadanya. Pada awalnya beliau meminta sebanyak 17 peratus daripada nilai projek, menjadikan keseluruhan jumlah sebanyak RM200 juta.

Atas nasihat Rizal, beliau bersetuju menerima 15 peratus. Satu perjanjian palsu dibuat oleh Lawrence Tee bagi tujuan menyembunyikan bayaran dan menutup nama sebenar penerima wang berkenaan.

Bagaimanapun, perjanjian itu hilang dan tiada siapa mengetahui di mana perjanjian itu disimpan. Lawrence akan memberi keterangan berhubung kandungan perjanjian itu.

Pada 20 Disember 2016, selepas perjanjian itu dilaksanakan, Saidi memberikan tertuduh wang tunai RM 5 juta seperti yang dijanjikan.

Bayaran itu dibuat selepas Surat Penganugerahan diberikan kepada JEPAK oleh Kementerian Pendidikan. Wang itu dihantar ke kediaman rasmi tertuduh di Putrajaya dan diterima oleh tertuduh selepas mendapat kepastian dengan Rizal bahawa jumlah itu adalah RM5 juta.

Bukti pada bahagian ini akan mewujudkan pertuduhan pertama terhadap tertuduh.

Projek solar dilaksanakan pada 20 Jun 2017.

Kementerian Pendidikan kemudian membuat beberapa siri bayaran kepada JEPAK. Saidi membuat penghantaran wang tunai RM 1.5 juta ke kediaman tertuduh di rumah Langgak Duta pada 7 September 2017.

Bukti yang disebut adalah cukup untuk mewujudkan pertuduhan kedua dan ketiga terhadap tertuduh.

Bukti langsung dan bukti keadaan akan menunjukkan bahawa tertuduh digerakkan dengan niat melakukan rasuah sepanjang waktu material. Seperti kebanyakan kes rasuah, pendakwaan akan bergantung kepada bukti daripada saksi-saksi penting. Pada peringkat tertentu, pendakwaan akan mengajak mahkamah in untuk mendengar keterangan saksi-saksi berkenaan dengan berhati-hati.

Bagaimanapun, pada akhirnya keterangan mereka boleh dipercayai dan menyokong butiran material. Pendakwaan juga akan membuktikan bahawa bukan saja satu kesalahan sudah dilakukan namun ia dilakukan oleh tertuduh.

Akhir sekali, mahkamah akan mendengar keterangan saksi yang berpihak kepada tertuduh. Namun berdasarkan fakta kes ini, ia adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Pendakwaan akan merujuk kepada mahkamah bagaimana untuk berdepan dengan keterangan saksi terbabit ketika hujahan akhir.