Rosmah ke SPRM, Najib ikut jalan belakang selepas tiga jam disoal siasat

Najib di PDRM, Rosmah pula ke SPRM hari ini. – Gambar Fail.

Rosmah Mansor hari ini tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya buat kali ketiga bagi memberi keterangan kepada suruhanjaya itu.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu tiba jam 10.40 pagi dengan menaiki kereta Proton Perdana dan diiringi beberapa individu.

Sementara itu, Najib telah disoal siasat selama tiga jam berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi BN berkenaan tiba di bangunan yang menempatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), PDRM kira-kira pujul 9.40 pagi tadi.

Walau bagaimanapun, pihak media tidak dapat menemui Najib untuk mendapatkan temu ramah. Beliau dipercayai selesai memberi keterangan kira-kira jam 1 tengah hari tadi sebelum difahamkan meninggalkan kawasan berkenaan sekitar pukul 1 petang mengikut jalan belakang.

Hal itu disahkan Presiden Badan Pemantau Malaysia, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, yang turut berada di situ bersama sekumpulan individu untuk memberi sokongan kepada Najib.

Siasatan terhadap Najib dikatakan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Najib kini sedang menghadapi 21 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, melibatkan dana RM2.6 bilion berkait kes 1MDB.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS