Malaysia Dateline

Rosmah masuk hospital, sama ada boleh hadir perbicaraan akan diketahui hari ini

Isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta semalam untuk menerima rawatan.

Peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan perkara itu kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Ditanya sama ada anak guamnya boleh menghadiri perbicaraan esok, beliau berkata “kita akan tahu esok (Rabu).”

Hari pertama perbicaraan rasuah Rosmah yang ditunggu-tunggu dan dijadualkan bermula pada Isnin bagaimanapun terpaksa ditangguhkan sehingga Rabu selepas beliau tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan diberikan sijil cuti sakit sehingga 8 Feb.

Berdasarkan laporan perubatan dari sebuah hospital swasta, yang dibacakan di dalam mahkamah, Rosmah mengalami sakit leher teruk yang berulang-ulang dengan radikulopati anggota atas kiri dan beliau juga mengadu pening ketika berbaring dalam posisi salah.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah bersimpati dengan keadaan Rosmah namun berdepan kekangan untuk menunda tarikh perbicaraan bagi tempoh yang lama.

Mohamed Zaini berkata beliau akan membenarkan penangguhan selama dua hari dan menegaskan bahawa tiada penangguhan lanjut akan dibenarkan.

Beliau berkata Rosmah akan dibenarkan menggunakan kerusi roda di dalam mahkamah dan masa rehat yang kerap akan diberikan semasa perbicaraan jika Rosmah berasa tidak sihat.

Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di tiga tempat iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall di Jalan Putra; di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan Seri Perdana Residence, Persiaran Seri Perdana, Precinct 10, Putrajaya antara Mac dan 7 Sept 2018.

— BERNAMA