Rosmah tiba di SPRM bantu siasatan penyelewengan projek solar

Rosmah tiba di SPRM bantu siasatan penyelewengan projek solar

Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dilihat tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dipercayai bagi membantu siasatan kes pembekalan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

Beliau tiba pada 11.40 pagi dengan menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam dan diiringi sebuah kereta Proton Waja.

Menurut sumber SPRM, notis memerintahkan Rosmah hadir telah diserahkan semalam.

Pada awal Jun lalu, sebuah portal berita melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak, lapor Bernama.