Malaysia Dateline

Rosmah ‘trending’ di Twitter, jajah muka depan akhbar turuti suaminya

Datin Seri Rosmah Mansor pagi ini sedang ‘trending’ atau sohor kini di Twitter serta ‘menjajah’ muka depan kesemua akhbar tempatan selepas sembilan hari wajah suaminya terpampang di suratkhabar.

Di Twitter, pelbagai lapisan masyarakat bercakap mengenai isteri Datuk Seri Najib Razak itu termasuk wakil rakyat dan warga asing.

Sehingga jam 10 pagi tadi, sebanyak 101,000 ciapan menyebut tentang Rosmah yang juga bekas Penaung Program Permata Negara (Permata) semasa Najib menjadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, Rosmah akan tetap menjadi Wanita Pertama Malaysia jika rakyat Malaysia tidak mengundi untuk perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Terima kasih, rakyat Malaysia! Jumpa anda semua dalam PRU-15 ya,” kata wakil rakyat PKR itu lagi.

Karikatur dari Fahmi Reza.

Sementara itu, pengarang bersama buku skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Billion Dollar Whale, Tom Wright pula mengimbas kembali panggilan telefon yang dibuatnya dengan seorang ahli perniagaan Malaysia selepas kediaman Rosmah diserbu pada 2018.

“Ingat 567 beg tangan yang ditemui di apartmennya di KL? Nama ahli perniagaan ini terdapat pada sekumpulan kotak yang disumbat dengan Birkins. Dia telah memberikan mereka sebagai hadiah, dan dia panik.

“Saya mengenali ahli perniagaan ini dan telah menjalin hubungan mesra dengannya. Isterinya, semasa makan malam di Joel Robuchon, di Resorts World di Singapura, telah menyatakan keraguan yang mendalam tentang Rosmah,” kata Wright lagi.

Sindiran lebih tajam pula dilihat riuh dalam kalangan pengguna Twitter, antaranya, @tictacjoeee yang menulis, “Najib & Rosmah, jodoh buatan syurga. Maksud saya, penjara.” manakala @Azfarovski berkata, “Cepat, apa minuman Starbucks kegemaran Rosmah”.

Paparan muka depan akhbar tanahair juga dipenuhi penampilan Rosmah yang berbaju kurung, bertudung dan berpelitup muka berwarna kuning ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Najib hiasi muka depan akhbar tempatan pada 24 Ogos lalu.

Utusan Malaysia hari ini menerusi muka depannya menyebut Rosmah menjadi isteri ahli politik pertama di negara ini disabitkan kesalahan dan dihukum penjara serta denda.

Rosmah juga mencatat sejarah apabila dikenakan denda terbesar ke atas mana-mana tertuduh kes rasuah.

Berita Harian pula tampil dengan tajuk ‘garang’ – ‘Pembelaan Rosmah hanya penafian kosong’ – yang memetik sebahagian kenyataan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Nada sedih pula dipilih menjadi tajuk muka depan Harian Metro – ‘Air mata Rosmah’ dengan imej Rosmah berpelitup muka dalam posisi menundukkan wajah berlatarbelakang hitam.

Satu-satunya akhbar yang mengaitkan Najib dalam pemilihan tajuk berkaitan kes Rosmah ialah Sinar Harian – ‘Rosmah dominasi Najib’ – dengan memetik kenyataan Hakim Zaini.

“Ia jelas menunjukkan bahawa tertuduh memberi arahan kepada Najib mengenai hal ehwal kerajaan,” antara kata Hakim Zaini.

Baca juga Entah siapa yang salah ku tak tahu, warganet ‘terhibur’ selepas Rosmah mohon gugurkan hakim

Baca juga Dakwa hutang RM4,000 belum langsai, Shahir tak larikan diri bakal bincang cara baik