Malaysia Dateline

Rosol patut turun padang tinjau isu lonjakan harga barangan keperluan

Kerajaan Pusat sepatutnya melihat isu kenaikan harga barangan keperluan harian dengan serius dan bukannya mendakwa ia adalah khabar angin.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid seolah-olah menafikan hal yang menambahkan beban rakyat itu.

Menurutnya, Rosol sepatutnya turun padang ke kawasan yang beliau wakili iaitu Hulu Terengganu bagi mendapat gambaran yang jelas.

“Angka yang dikeluarkan oleh Indeks Harga Pengguna menunjukkan kenaikan harga yang dicatatkan kini adalah bersamaan dengan 2.9 peratus dan ia amat jauh bezanya semasa era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Ketika era PH kenaikan hanyalah pada kadar 0.7 peratus sedangkan kadar 2.9 peratus kini merupakan kadar yang sama sebelum PH menerajui kepimpinan kerajaan,” katanya semasa hadir ke Program Hari Kesedaran Penyakit Diabetes Sedunia di Bayan Baru semalam.

Tze Tzin yang juga Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang itu menegaskan aduan yang dibuat oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) adalah suara rakyat.

“Sepatutnya suara ini didengari dan diberi perhatian tanpa meremehkan aduan terbabit,” katanya.

Kelmarin, semasa sidang Parlimen Rosol mendakwa bahawa berita mengenai kenaikan harga sayur merupakan khabar angin dari Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Sim Tze Tzin bersama peserta program di Bayan Baru.