Malaysia Dateline

Rotan Abah, kenapa Takiri terus bebas

Seminggu ini kemarahan rakyat seperti tiada penghujungnya. Jika tidak kerana Covid-19, pasti jalanan sudah ditawan dengan laungan suara gempita dan sepanduk diangkat ke udara.

Rakyat diminta patuh SOP, rakyat dikatakan alpa oleh menteri, kes meningkat dikatakan disebabkan PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin), malah ratusan rakyat yang melanggar SOP ditangkap setiap hari. Tapi, yang tetap bebas adalah Si Takiri.

Isnin, 5 Oktober 2020, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri Hal Ehwal Agama didapati positif Covid-19 dan beliau telah ke sana ke sini tanpa kuarantin selepas pulang dari Sabah. Beliau telah bertemu dengan ramai orang awam, malah mengikuti mesyuarat Kabinet pada 3 Oktober 2020.

Kain rentang yang dipasang rakyat yang marah.

Ini menyebabkan semua ahli Kabinet termasuk Dr Noor Hisham, Ketua Pengarah Kesihatan dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin terpaksa menjalani kuarantin selama 14 hari.

Sebelum itu, mereka bebas tidak kuarantin diri, seolah-olah lebih besar darjat mereka daripada SOP daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini sudah mula menunjukkan ketidakadilan dan penting diri menteri-menteri Perikatan Nasional (PN).

Selasa, 6 Oktober 2020, kita dikejutkan dengan jumlah kes baharu Covid-19 sebanyak 691 yang melibatkan 688 kes tempatan dan kematian seorang bayi perempuan berumur setahun.

Ia menimbulkan rasa bimbang dan sedih yang amat sangat bagi seluruh rakyat Malaysia atas kematian empat individu termasuk bayi perempuan tersebut.

Namun, sejurus selepas itu, Muhyiddin mengadakan satu Perutusan Khas mengenai situasi semasa Covid-19. Rakyat tertanya-tanya adakah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diaktifkan semula?

Adakah Muhyiddin akan memohon maaf secara terbuka kerana kegagalannya mengawal peningkatan kes Covid-19 ini? Rakyat juga menantikan permohonan maaf terbukanya kerana begitu ramai Menteri PN tidak kuarantin selepas pulang dari Sabah, termasuk dirinya sendiri.

Ternyata, rakyat kecewa dengan perutusan ‘kosong’ itu.

Luahan kecewa membanjiri laman-laman sosial, apatah lagi beliau masih boleh berseloroh, “maaflah jika abah ini mula menggunakan rotan!”

Seorang bayi berumur setahun baru sahaja pergi menghadap pencipta. Perdana Menterinya sempat berseloroh.

Kematian bayi perempuan itu memerlukan pengadilan dan tanggungjawab seorang Perdana Menteri di tanah lahirnya. Bayi itu dan 32.7 juta penduduk Malaysia tidak memerlukan seorang abah sebagai pemimpin negara.

Maka selepas daripada sesi perutusan yang tidak memberi makna apa-apa pada sesiapa itu, amarah rakyat memuncak sehingga #MuhyiddinOut “trending” di laman-laman sosial.

Apakah Muhyiddin dan konco-konconya tidak belajar apa-apa sepanjang tujuh bulan menjadi pentadbir di negara ini? Sampai bila nak buat-buat pekak dan buat-buat bisu?

Jadi adakah dengan jeda politik, atau #PauseMalaysia yang digerakkan oleh parti politik Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan menyelesaikan masalah negara kita yang kini ditadbir para pemimpin tidak kompeten?
Seminggu ini begitu banyak hal berlaku. Terlalu banyak hal yang perlu dihadam rakyat.

Politik mencakupi segalanya dalam kehidupan. Politik jugalah yang meletakkan Malaysia dalam keadaan sekarang. Tiada makna jeda untuk rakyat atau parti pembangkang mendesak kerajaan memulihkan prestasi mereka yang dari hari ke hari semakin hancur.

Nyawa negara kita Malaysia perlu terus hidup. Semangat masyarakatnya perlu terus membara. Tapi, kerajaan hari ini seperti tiada nafsu untuk menyalakan kedua-duanya.

Permintaan MUDA agar wujud tempoh berdamai dan mengesyorkan semua parti duduk semeja seolah-olah parti yang baru sahaja berumur satu bulan ini sedang berdelusi.

Tiada “pause” dalam perjuangan politik, kerana ketika kita berhenti seketika, ia hanya membuka lebih banyak jalan pincang untuk diambil oleh pihak lawan.

Ketika kita berhenti menyuarakan yang hak, puluhan lagi nyawa pergi tak diendah seperti bayi berumur setahun itu tanpa kita sedar. Lalu, mahukah kita hanya melihat kerajaan batil ini terus berwenang seperti kerajaan ini kerajaan abah mereka yang punya?