Malaysia Dateline

Royalti 20% diberi berdasarkan keuntungan di negeri pengeluar

Pemberian royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum dibuat berdasarkan jumlah keuntungan yang diperoleh daripada negeri berkenaan, demikian menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, royalti merupakan keuntungan dan jika keuntungan mencapai RM100 juta maka royalti yang diperoleh negeri berkenaan sebanyak RM20 juta.

“Ia berdasarkan keuntungan Petronas di sesuatu tempat. Maka apa yang kita kutip di Terengganu tidak akan dibayar kepada Sarawak dan Sabah” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam,

Pada persidangan Dewan Rakyat kelmarin, Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan komited merealisasikan janjinya yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 termasuk pemberian royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya berharap royalti itu digunakan untuk kebaikan negeri-negeri berkenaan dan tidak disalah guna untuk memperkuatkan parti dan lain-lain.